Bernama.com
Am 21 Ogos, 2009 14:10 PM
 
Penerbangan Tambang Rendah Ipoh-Medan Mulai 9 Sept


IPOH, 21 Ogos (Bernama) -- Sebuah lagi syarikat tambang rendah, Silverfly Sdn Bhd, dengan kerjasama Riau Airlines, akan memulakan penerbangan sulung dari Ipoh ke Medan mulai 9 Sept ini, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim.

Beliau berkata perkhidmatan itu merupakan usaha proaktif kerajaan negeri bagi memberi manfaat kepada rakyat Perak.

"Penerbangan Silverfly ini sudah pasti memberi banyak kemudahan kepada rakyat kerana ia menawarkan penerbangan tiga kali seminggu iaitu setiap Isnin, Jumaat dan Ahad," katanya kepada pemberita selepas merasmikan MATTA Perak Travel Fair 2009, di sini pada hari Jumaat.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama penerbangan Medan-Ipoh-Medan antara Silverfly dan Riau Airlines.

Roshidi berkata penerbangan ini mampu mengaktifkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini dan menggalakkan aktiviti atau industri pelancongan kedua-dua negara.

Sementara itu, Pengurus Kawasan Silverfly Sdn Bhd Eddy Azuan Sidik, berkata penerbangan itu menawarkan tambang RM369 dua hala dan RM259 sehala.

Beliau berkata penerbangan itu menggunakzn pesawat Fokker-50, yang mampu membawa 48 penumpang, dan berlepas dari Ipoh pada pukul 12.30 tengah hari.

"Kita yakin penerbangan baharu ini akan memberi manfaat kepada pelancong dan ahli perniagaan di kedua-dua negara," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels