Bernama.com
Am 18 Ogos, 2009 17:55 PM
 
Evolusi Sastera Siber Bermula - Sasterawan Negara


KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Evolusi penulisan sastera yang kini mula berkembang di internet terutama di kalangan golongan muda tidak harus disekat walaupun terdapat karya yang kurang bermutu, kata Sasterawan Negara Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan.

Ketika ditemubual dalam rancangan Appointment di Radio 24 hari ini, Mohd Anuar berkata terdapat juga karya yang disiarkan oleh blog dan jaringan sosial mempunyai kualiti sastera kreatif yang baik.

"Saya tidak menganggap sastera itu rosak apabila ia ditulis dalam medium lain seperti internet. Penulisan sastera di alam siber masih di peringkat evolusi, jadi mutunya belum diketahui, tetapi bukan semua yang tidak bermutu. Ia belum menjadi piawaian antarabangsa," katanya.

Namun, beliau berkata persoalan yang berkisar dalam karya kreatif itu tidak dapat ditulis dengan mendalam kerana faktor ruang yang terhad dan emosi yang ingin disampaikan agak terjejas.

Beliau berkata internet mempunyai potensi untuk menarik lebih ramai golongan meminati sastera kerana penyebaran tulisan yang lebih pantas dan meluas berbanding medium lama.

"Sastera tidak akan hilang ciri-cirinya apabila ia digunakan di alam siber. Apa yang penting mesej yang terdapat dalam kandungan sastera itu masih menerapkan nilai-nilai baik. Teknologi bukan satu kesalahan tapi ia menyampaikan idealisme," katanya.

Mohd Anuar berkata antara karya kreatif yang dilihat mampu mengangkat nama baik sastera dalam medium internet adalah puisi, cerita pendek, novel dan drama

Sastera itu, kata beliau, akan lebih menarik jika penulis mengambil berat tentang tema dan selera masyarakat yang sesuai dengan masa kini.

"Ia tidak harus berkisar tentang cinta sahaja, apa yang saya dapati persilangan budaya antarabangsa merupakan tajuk yang paling banyak dihasilkan dan diminati golongan muda. Formula ini harus menjadi ikutan penulis senior," katanya.

Beliau berkata penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam bidang sastera, boleh mempelajari teknik yang digunakan penulis barat di dalam internet tetapi tidak harus menelan bulat-bulat tanpa menyaring kesesuaian latar agama dan bangsa.

--BERNAMA


Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels