Bernama.com
Am 13 Ogos, 2009 17:17 PM
 
300 Pakar Nutrisi Di Hospital Dan Klinik Kerajaan


KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Kira-kira 300 pakar nutrisi akan ditempatkan di hospital dan klinik kerajaan untuk menawarkan khidmat nasihat mengenai amalan pemakanan sihat kepada mereka yang memerlukan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pada peringkat awal, seramai 50 pakar nutrisi akan ditempatkan di hospital dan klinik kerajaan dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Beliau berkata rancangan menempatkan pakar nutrisi ini adalah di bawah Pelan Strategik Nasional bagi memerangi Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

"Buat masa ini, kita mempunyai 60 pakar nutrisi yang bekerja secara sambilan. Buat permulaan, kita akan tempatkan 50 pakar nutrisi tetap dan bilangan ini bertambah memandangkan pertambahan graduan dalam bidang ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pemeriksaan Pra-Diabetes sempena Persatuan Kajian Kegemukan Malaysia (MASO) di sini Khamis.

Dalam pada itu, Liow berkata Kementerian Kesihatan akan memasukkan peruntukan untuk penyelidikan mengenai obesiti dan nutrisi dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk mengambil kira bajet untuk penyelidikan mengenai obesiti dan nutrisi supaya kita mempunyai perbelanjaan yang cukup untuk menjalankan program yang lebih berkesan," katanya.

Katanya dalam RMK-10, Kementerian Kesihatan akan memberikan tumpuan terhadap usaha mencegah penyakit secara komprehensif bukan sahaja menerusi media, kempen atau seminar sebaliknya menubuhkan pusat-pusat khas yang boleh membimbing masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

"Ia akan dijalankan dengan lebih proaktif bagi menggalakkan cara hidup sihat berbanding cara pasif sekarang," katanya.

Mengenai masalah obesiti dan diabetes, Liow menasihatkan supaya orang ramai menjaga amalan pemakanan mereka bagi mengelakkan peningkatan penyakit itu di negara ini.

Katanya masalah kegemukan dan obesiti menjadi satu pintu masuk kepada kebanyakan NCD yang telah meningkat dengan begitu cepat terutama sekali darah tinggi, barah dan diabetes.

"Kalau kita lihat daripada maklumat yang kita dapat, kegemukan adalah faktor yang paling besar menyebabkan diabetes.

"Di Malaysia, lebih kurang 15 peratus rakyat menghadapi pra-diabetes dan sekiranya mereka dikenalpasti awal, dapat kurangkan atau elakkan masalah diabetes dalam negara," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Kesihatan itu berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan menjelang 2015, kira-kira 2.3 bilion orang dewasa akan gemuk dan lebih 700 juta menghadapi masalah obesiti.

Dijangkakan dalam abad ini, lebih ramai orang mati daripada komplikasi akibat makan berlebihan berbanding kebuluran, katanya.

Anggaran terkini WHO menandakan di peringkat global pada 2005, kira-kira 1.6 bilion orang dewasa (umur 15 tahun dan ke atas) adalah gemuk (Indeks Jisim Badan (BMI) 25.0 sehingga 29.9) dan sekurang-kurangnya 400 juta orang dewasa mengalami masalah obesiti (BMI lebih 30.0)

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels