Bernama.com
Am 03 Ogos, 2009 17:32 PM
 
Morshidi Dilantik Sebagai SUK Sarawak Yang Baru


KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Datuk Mohamad Morshidi Abdul Ghani, 53, telah dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sarawak yang baru, menggantikan Datuk Amar Wilson Baya Dandot yang bersara akhir bulan ini.

Dalam majlis ringkas, Baya, yang memegang jawatan tersebut sejak 1 Jan, 2007, menyerahkan tugas kepada bekas timbalannya itu di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Morshidi merupakan Timbalan SUK Negeri sebelum ini.

Sementara itu, Baya dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertama Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang dijangka beroperasi tahun ini.

RECODA akan bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (SCORE).

Morshidi, berasal dari Kuching, memulakan kariernya sebagai eksekutif pengurusan dengan Petronas dari 1980 hingga 1988 sebelum menyertai perkhidmatan awam negeri sebagai Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara pada Ogos, 1988.

Beliau memiliki Sarjana Sains dalam Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Scranton, Pennsylvania, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Perangkaan), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau mempunyai empat orang anak.

-- BERNAMA


Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels