Bernama.com
Am 02 Ogos, 2009 00:32 AM
 
589 Orang Termasuk 44 Remaja Ditahan Sertai Perhimpunan Haram


KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Seramai 589 orang termasuk 44 remaja di bawah umur 18 tahun yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan dan perarakan Gerakan Mansuh ISA (GMI) ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara sehingga pukul 11 malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 549 lelaki dan 40 wanita yang akan disiasat di bawah Akta Polis 1967.

"Daripada jumlah itu, 27 orang adalah pelajar yang mana 20 orang terdiri daripada pelajar berumur 17 tahun ke bawah manakala bakinya adalah pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta yang berumur lingkungan 18 hingga 23 tahun," katanya.

Mereka yang ditahan adalah antara sebahagian 10,000 penyokong GMI yang berhimpun dan berarak secara haram seawal 7 pagi tadi bagi menghantar memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bagaimanapun usaha GMI itu untuk menghantar memorandum itu menemui kegagalan ekoran ketegasan pasukan keselamatan mengekang rancangan mereka.



--BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels