Bernama.com
Am 01 Ogos, 2009 22:25 PM
 
KL Kelam Kabut, 438 Orang Termasuk 38 Remaja Ditahan Sertai Perhimpunan Haram


KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Beberapa kawasan utama di ibu kota menjadi kelam kabut apabila lebih 10,000 penyokong Gerakan Mansuh ISA (GMI) meneruskan perhimpunan dan perarakan haram bagi menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memansuhkan undang-undang itu.



Kedegilan kumpulan itu mengingkari arahan polis menyebabkan pasukan keselamatan itu terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan kumpulan yang berhimpun di beberapa lokasi tumpuan orang awam seperti Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman termasuk pusat beli belah Sogo.

Seramai 438 orang termasuk 38 remaja di bawah umur 18 tahun yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan dan perarakan GMI itu ditahan di beberapa lokasi sekitar ibu negara hari ini.

"Segala kesulitan dan ketidakselesaan yang dialami orang ramai termasuk pengguna jalan raya dan peniaga semasa polis melaksanakan tugas mengawal ketenteraman awam tidak dapat dielak sama sekali," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Bagaimanapun usaha GMI itu untuk menghantar memorandum itu menemui kegagalan ekoran ketegasan pasukan keselamatan mengekang rancangan mereka.

Kumpulan itu yang mula berhimpun di ibu negara seawal 7 pagi tadi dan bersurai kira-kira 6 petang.

Kumpulan itu mula berarak dari beberapa lokasi seperti Masjid Jamek, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Kinabalu, Dataran Merdeka kira-kira 2 petang.

Bagaimanapun mereka tidak dapat menuju ke Istana Negara berikutan polis mengepung setiap laluan masuk.



Turut kelihatan menyertai perarakan itu ialah pemimpin pembangkang yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Musa berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 401 lelaki dan 37 wanita akan disiasat di bawah Akta Polis 1967.

"Tangkapan ini hanya melibatkan penunjuk perasaan anti-ISA manakala kumpulan pro-ISA tidak dilihat melibatkan diri dalam perhimpunan dan perarakan tersebut," katanya.

Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) yang sebelum ini merancang mengadakan perhimpunan di Pasar Seni menyokong ISA dikekalkan, membatalkan perhimpunan mereka kerana akur dengan arahan.

Jurucakap kumpulan itu Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata Pewaris hanya akan menghantar kira-kira 10 wakil untuk menyerahkan memorandum menyokong ISA kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mohd Khairul Azam, yang juga penasihat undang-undang Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan Pembela Negara (Magaran), bagaimanapun ditahan polis pada pukul 7 malam tadi kerana cuba memasuki kawasan Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengekalkan ISA.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields Supt Azri Abdul Rahman yang mengesahkan perkara itu ketika ditemui berkata Mohd Khairul Azam akan dibebaskan selepas keterangannya diambil.

Beberapa jalan utama di ibu kota ditutup sejak awal pagi untuk mengekang perhimpunan haram itu hingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Ramai yang merungut kerana terkandas berjam-jam di dalam kenderaan masing-masing dan menyebabkan mereka lambat ke destinasi.

Perniagaan di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman terjejas kerana premis mereka terpaksa ditutup akibat perhimpunan itu.

Ahmad Husin, yang berniaga barang aksesori di Jalan Masjid India sejak 15 tahun lepas, berkata mereka yang mengadakan perhimpunan haram itu tidak bertanggungjawab dan tidak memikirkan nasib peniaga di situ.

"Sudah banyak kali berlaku demonstrasi macam ini. Memang perniagaan kami terjejas teruk. Kalau nak buat demo (perhimpunan) pun carilah tempat yang sesuai bukannya tempat yang menjadi tumpuan ramai seperti ini (Jalan Masjid India)," katanya.

Tinjauan kira-kira 6.30 petang tadi ke kawasan perniagaan terbabit mendapati premis perniagaan dan Sogo kembali beroperasi seperti biasa.



Pusat beli belah Sogo, yang merupakan ikon beli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, juga terpaksa ditutup kira-kira 1.30 petang bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Stesen LRT Bandaraya dan Masjid Jamek ditutup sementara dari 1.55 petang hingga 6.20 petang ekoran insiden itu.



"Sekarang sudah beroperasi seperti biasa. Kita terpaksa tutup tadi atas sebab keselamatan," kata Pengurus Besar Komunikasi RapidKL Ebi Azly Abdullah.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman berkata polis akan menyiasat pemimpin tertinggi pembangkang yang telah memberi ucapan di hadapan penyokong-penyokong GMI di Pejabat Agung Pas Pusat di Jalan Raja Laut kira-kira 3.55 petang tadi.



Antara yang disiasat ialah Presiden Pas Datuk Seri Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Tian Chua.

Beliau berkata tiada rampasan senjata dan kecederaan dilaporkan dalam insiden itu selain merampas baju dan banner memansuhkan ISA.



Mohammad Sabtu berkata keadaan di ibu kota adalah terkawal.



"Keselamatan KL dijamin selamat. Orang ramai tak perlu gusar dan ragu," katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels