Bernama.com
Am 27 Julai, 2009 18:16 PM
 
Shahrizat Berbesar Hati Atas Tugas Sebagai "Menteri Pimpinan" Dalam NKRA


KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil menyatakan penghargaan di atas tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai "Menteri Pimpinan" bagi kategori meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dalam Indeks Prestasi Utama (KPI).

Beliau berkata kementerian itu bersedia dalam melaksanakan tugas-tugas kebajikan demi mencapai kemiskinan tegar sifar menjelang tahun 2011.

"Di dalam memberi perkhidmatan yang lebih efisien, Kementerian akan memastikan bayaran kepada semua penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diberi pada setiap 1 hari bulan bermula pada Januari 2010," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin.

Beliau berkata sehinga kini terdapat 117,545 penerima bantuan kebajikan daripada Kerajaan Persekutuan yang diuruskan bayaran bulanan oleh JKM.

Katanya jumlah ini meliputi bilangan penerima baru selepas skim bantuan kebajikan itu diperluaskan ke Sabah dan Sarawak mulai Januari tahun ini, serta bilangan keluarga miskin tegar yang berdaftar melalui sistem e-Kasih dan Projek Cari yang dijalankan kementerian berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin menamakan Shahrizat sebagai 'Menteri Pimpinan' bagi kategori meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) yang merangkumi enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

-- BERNAMA


Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels