Bernama.com
Am 25 Julai, 2009 11:13 AM
 
Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris


Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Pendapat bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat negara ini boleh menentukan jatuh bangun negara di masa akan datang, bukanlah sesuatu yang keterlaluan.

Ini kerana bahasa Inggeris menjadi lingua franca dalam aktiviti ekonomi global, yang akan menentukan kelangsungan negara ini di pentas dunia.

Ramai yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris (BI) perlu dikuasai oleh rakyat untuk membolehkan negara ini terus maju dan keputusan kerajaan memansuhkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) membimbangkan beberapa pihak dan dianggap satu langkah ke belakang.

"Kenapa perlu dimansuhkan PPSMI. Macam mana anak kita nak bersaing dengan dunia luar," rintih seorang ibu ketika memberi reaksi kepada keputusan kerajaan itu awal bulan ini.

Kabinet memutuskan memansuhkan PPSMI pada 2012 setelah mendapati dasar itu gagal mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan pada masa sama menjejaskan pencapaian pelajar, khususnya di luar bandar dalam kedua-dua subjek itu.

Secara tidak langsung, PPSMI juga dikatakan menghakis kedudukan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan, yang menjadi bahasa pengantar persekolahan sejak awal 1970-an.

Lantaran itu, timbul polemik sama ada keputusan kerajaan itu bermakna usaha untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan pelajar sudah diketepikan atau isu PPSMI tidak dilihat secara holistik?

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata kebimbangan ibu bapa berlaku kerana mereka keliru dengan pemansuhan PPSMI yang hanya menekankan kepada dua subjek, tetapi dasar itu sebenarnya akan diganti dengan dasar yang lebih baik.

"Matlamat asal penguasaan BI dikekalkan, malah ia ditambah baik dengan fokus kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) lebih berkesan," katanya kepada Bernama di sini.

PPSMI sebenarnya diganti dengan dasar "Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris" atau MBMMBI yang disifatkan sebagai strategi pendidikan serampang dua mata.

Melalui dasar baru itu, penekanan terus diberikan kepada subjek BI dan bukannya melalui subjek Sains dan Matematik, bagi meningkatkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar.

Alimuddin berkata antara strategi memperkukuh penguasaan BI itu ialah dengan menambah masa pengajian subjek BI, memperbanyakkan bahan bacaan dalam BI di sekolah, menambah guru terlatih dan memperkemaskan kaedah P&P subjek berkenaan.

Sebagai contoh, masa pengajian BI bagi Tingkatan 1 hingga 3 yang kini 200 minit seminggu akan dinaikkan kepada 280 minit menjelang pelaksanaan MBMMBI pada 2012.

Strategi sama turut dilakukan kepada subjek BM dilihat akan menutup "kepincangan" PPSMI yang sebelum ini tidak memberikan penekanan kepada bahasa kebangsaan itu, menyebabkan ia ditentang pejuang bahasa.

Prof Diraja Ungku Aziz pernah menyifatkan PPSMI sebagai "satu kesilapan", yang bukan sahaja menjejaskan pencapaian pelajar di luar bandar, terutama pelajar Melayu, tetapi mengikis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Ungku Aziz juga menolak andaian BM tidak setanding BI sebagai bahasa ilmu.

Alimuddin menegaskan bahawa pertimbangan kerajaan memansuhkan PPSMI bertujuan menambah baik dasar pendidikan sedia ada untuk kepentingan semua pihak.

"Ia bukan soal kaum tapi lokaliti. Kita tak mahu anak luar bandar tertinggal dalam arus pendidikan negara. Pertimbangan kita dalam perkara ini adalah untuk semua," katanya.

Sekalipun PPSMI dilihat mempunyai beberapa kelemahan, beberapa pihak mengakui dasar yang dicetuskan dan dilaksanakan pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad itu bukanlah suatu dasar yang tidak baik.

"Apa dilakukan adalah untuk membiasakan pelajar menguasai ilmu khususnya Sains dan Matematik dalam bahasa ilmu itu berkembang, khususnya pada masa kini," kata pejuang bahasa Prof Madya Dr Lim Swee Tin, dari Universiti Putra Malaysia, yang pernah menjadi guru Matematik dan Bahasa Melayu selama lebih 28 tahun.

Bersetuju dengan strategi penekanan kepada kaedah P&P subjek BI, Lim turut mencadangkan supaya istilah Sains dan Matematik dalam BI yang dialih bahasa dikekalkan.

"Ini bagi membolehkan istilah itu difahami bukan sahaja dalam lingkungan kita tetapi di peringkat antarabangsa," katanya sambil memberikan contoh "photosintesis" yang dikekalkan sebagai "fotosintesis" dalam BM.

Dilaksanakan pada 2003, PPSMI bertujuan meningkatkan penguasaan BI pelajar dengan hujah kebanyakan terma dan istilah dalam dua disiplin ilmu itu adalah dalam BI, membolehkan penguasaan ilmu itu dikatakan menjadi lebih mudah.

Namun selepas enam tahun pelaksanaannya, kerajaan membuat keputusan memansuhkan PPSMI selepas kajian menunjukkan PPSMI mengalami kegagalan dalam pelaksanaannya, melebarkan jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar dan secara tidak langsung menghakis kedudukan BM.

Pada 8 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, mengumumkan PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya pada 2012 dan dua subjek itu akan diajar menggunakan bahasa Melayu selain bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan.

Kabinet juga meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.

Antara sebab menyumbang kepada kegagalan PPSMI kerana guru di luar bandar tidak menggunakan PPSMI sepenuhnya, sebaliknya menggunakan dwibahasa ketika mengajar kerana kompetensi guru dan pelajar yang lemah dalam BI.

Bagi mengatasi kelemahan itu melalui MBMMBI, kerajaan akan menambah guru terlatih termasuk 1,000 guru penutur asli yang diimport dari negara luar di mana bahasa Inggeris merupakan bahasa asalnya.

Tumpuan akan diberikan kepada kawasan luar bandar di mana peratusan kelulusan dalam BI adalah rendah. Pada masa yang sama penekanan kepada BM akan diteruskan.

Apa yang pasti ialah usaha Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris bukanlah kisah "antara dua darjat" kerana kedua-dua bahasa itu sama penting dalam mencorak generasi akan datang mengikut acuan Malaysia.

Mana-mana pihak termasuk ibu bapa tidak perlu bimbang kerana akhirnya matlamat asal penguasaan BI itu tetap kekal malah dimantapkan lagi, selain jati diri bahasa kebangsaan tidak diabaikan.

Sepertimana kata Ungku Aziz kepada Bernama sebelum ini: "Untuk negara kita maju, kita perlu belajar bahasa lain seperti bahasa Inggeris, tapi untuk negara kita kuat dan kukuh, kita perlu satu bahasa perpaduan iaitu bahasa Melayu".

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels