Bernama.com
Am 21 Julai, 2009 15:03 PM
 
JAKIM Teliti Naikkan Elaun Guru KAFA


KUCHING, 21 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang meniliti kaedah yang sesuai untuk menaikkan elaun 34,000 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata Jakim akan membawa perkara tersebut kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebi dahulu sebelum ia dapat dilaksanakan.

"Guru Kafa kini hanya menerima elaun RM500 sebulan dan kebanyakannya adalah bekerja secara sambilan. Elaun ini masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan sumbangan yang mereka berikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Penyelia dan Guru-Guru Kafa Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Beliau berkata Jakim telah menaikkan elaun 383 Penyelia Kafa daripada RM750 kepada RM1,400 sebulan selain memberikan gred S17 kepada mereka.

Jumlah guru Kafa sedia ada akan turut dikaji semula berikutan pertambahan jumlah penduduk khasnya di kawasan bandar baru dan kawasan perumahan, katanya.

Semasa berucap, Jamil Khir berkata daripada RM221.6 juta peruntukan tahunan yang diberikan kepada Jakim, sebanyak 40 peratus adalah untuk pembangunan Kafa.

Beliau juga berkata Jaim berpuas hati dengan keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi tahun lalu, di mana daripada 165,665 calon, seramai 165,407 lulus iaitu hampir 99.84 peratus, dengan enam negeri memperolehi kelulusan 100 peratus.

"Ini membuktikan pelaksanaan program Kafa menunjukkan kesan yang baik kepada peningkatan ilmu agama di kalangan anak-anak kita," katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels