Bernama.com
Am 16 Julai, 2009 16:50 PM
 
Pelan Tindakan Perpaduan Dan Integrasi Nasional Dikaji Semula


PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji semula Pelan Tindakan Perpaduan dan Integrasi Nasional 2006-2010 bagi mengenal pasti sejauh mana keberkesanan pelan itu dalam meningkatkan tahap perpaduan dan integrasi rakyat di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata hasil kajian itu akan digunakan untuk menambah baik dan mempertingkatkan pelan bagi tahun 2011-2015, yang akan diumumkan sebelum atau pada pertengahan tahun depan.

"Kami sedang melihat keseluruhan semakan semula kerana sejak pelaksanaannya kita tidak pernah melakukan kajian semula dan kita akan menggunakan konsep asas pengurusan prestasi untuk melihat sejauh mana keberkesanannya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 276 anggota Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada hari Khamis.

Mengenai Skim Rondaan Sukarela (SRS), Dr Koh berkata kerajaan sedang berusaha berbincang dengan pihak swasta bagi mengikut jejak langkah kerajaan membenarkan peserta skim berkenaan datang lewat ke pejabat empat jam pada keesokan harinya.

Beliau berkata ia bertujuan menggalakkan lebih banyak penyertaan terhadap SRS, yang ketika ini berjumlah 1,500 unit di seluruh negara, lebih-lebih lagi apabila statistik menunjukkan skim itu berjaya menyelesaikan kira-kira 4,000 kes bagi lima bulan pertama tahun ini termasuk kes-kes kecurian kecil, gejala sosial dan vandalisme.

"Untuk mengadakan satu kerjasama dengan sektor swasta agak mencabar kerana kita belum lagi mempunyai aturan undang-undang atau prosedur dengan sektor swasta. Kami kini sedang di dalam proses melihat kepada pengurusan kreatif. Kita tengah fikir apakah insentif kepada syarikat-syarikat swasta supaya mereka sudi untuk beri cuti setengah hari bagi peserta SRS," katanya.

Dr Koh berkata terdapat hasrat untuk meningkatkan latihan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi serta pegawai dan petugas awam supaya mereka mempunyai kemahiran sosial dan pengantaraan bagi menangani apa jua perbalahan di dalam masyarakat terutamanya yang melibatkan kaum dan latar belakang agama berlainan.

Beliau berkata adalah penting supaya sebarang insiden kcil di dalam masyarakat tidak menjadi besar, khususnya yang membabitkan insiden perkauman dan hal agama.

"Sering kali berlaku apabila perselisihan peribadi atau salah faham seperti kemalangan jalan raya yang kecil membabitkan dua pihak berlainan kaum, jika mereka marah terhadap pihak satu lagi dan tidak ditangani dengan baik, ia boleh meletus menjadi sesuatu tidak diingini sedangkan ia bukan berpunca akibat masalah agama atau kaum, tetapi hanya disebabkan konflik interpersonal," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels