Bernama.com
Am 30 Jun, 2009 20:40 PM
 
KPKK Wujud Skim Galakan Kembangkan Seni Budaya Dan Komunikasi


KUALA KLAWANG, 30 Jun (Bernama) -- Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan akan mewujudkan satu skim galakan khas dalam usaha mengembangkan seni budaya dan komunikasi di kalangan murid sekolah dan guru.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata untuk fasa pertama, tumpuan akan diberikan usaha membantu para guru yang dilihat mempunyai bakat dan potensi dalam bidang muzik.

Beliau berkata mereka yang terpilih untuk skim itu akan diberikan bantuan dari segi peralatan, disamping bimbingan saintifik berkaitan dengan seni muzik dan juga seni suara.

Menurutnya dalam perkara ini peralatan muzik tradisional akan diberi lebih banyak penekanan berbanding peralatan moden, kerana minat kebanyakan golongan muda kini dilihat lebih cenderung kepada muzik barat dan muzik moden.

"Jarang sekali mereka berminat dengan muzik tradisional. Jadi penekanan akan diberikan kepada muzik tradisional, tidak kira sama ada dari kaum Melayu, Cina atau pun India," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan Hari Guru peringkat Daerah Jempol dan Jelebu di sini, Selasa.

Rais yang juga anggota Parlimen Jelebu berkata pihaknya akan hanya menyalurkan bantuan itu menerusi Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata fasa kedua skim galakan itu pula membabitkan bantuan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk memupuk dan mewujudkan bakat budaya di sekolah-sekolah.

Katanya selain itu pihaknya juga akan membantu sekolah-sekolah pendalaman untuk mendapatkan kelengkapan komputer dan juga peralatan internet.

"Ini akan ditingkatkan sejajar dengan dasar kerajaan memperhebat penggunaan kemudahan jalur lebar dan juga pengisian komputer dari segi kandungan tempatan. Kami akan menggunakan jasa baik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyelaraskan program dan juga bimbingannya," kataya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels