Bernama.com
Am 10 Jun, 2009 19:18 PM
 
Vaksin Untuk Jemaah Haji Dan Umrah Halal, Kata Kementerian Kesihatan


KUCHING, 10 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan mengesahkan suntikan vaksin meningitis yang diwajibkan ke atas jemaah haji dan umrah adalah halal dan dijamin tidak mengandungi enzim babi seperti didakwa oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) Isnin lalu.

Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Shirlin Abdul Rashid Shirlin berkata tidak timbul isu keraguan berkaitan dengan vaksin tersebut di negara ini kerana vaksin meningococcal quadrivalen ACYW 135 tersebut dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji.

"Vaksin itu disahkan tidak mengandungi unsur-unsur dari babi atau pun lembu dan jemaah haji tidak perlu bimbang dengan isi kandungan vaksin tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Sempadan Muhibbah Malaysia-Thailand ke-22 di sini, Rabu.

Sebelum ini, MUI menggesa kerajaan Arab Saudi menggugurkan syarat yang mewajibkan semua jemaah haji dan umrah menerima suntikan vaksin itu kerana vaksin itu dikatakan mengandungi enzim babi.

Ketuanya Ma'ruf Amin dilaporkan sebagai berkata bahawa kajian MUI mendapati vaksin itu mengandungi bahan daripada babi.

Mengenai mesyuarat itu, Rosnah berkata Malaysia dan Thailand perlu meningkatkan usaha menangani bersama pelbagai jenis penyakit berjangkit kronik seperti yang terbaru cholroquine resistant falciparum malaria, avian influenza dan influenza A(H1N1).

Mesyuarat empat hari itu antara lain akan membincangkan isu-isu semasa kesihatan awam terutamanya dalam menangani penyakit berjangkit di kawasan sempadan serta bertukar pandangan dan pengalaman dalam pengurusan kesihatan awam dan perkara berkaitan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels