Bernama.com
Am 25 Mei, 2009 16:56 PM
 
Fungsi Dua Dalam Satu SMART Untuk Kereta Dan Banjir


Sudah 24 bulan Terowong SMART membuka lebuh rayanya kepada orang ramai. Ketika ramai yang kini menjadi pengguna setianya, masih ada yang kurang memahami dwi fungsi terowong ini. Pengurus Besar SMART Mohd Fuad Kamal Ariffin bercakap kepada BERNAMA mengenainya.

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Betty (bukan nama sebenar) begitu teruja mahu mencuba sebuah jalan baru di Kuala Lumpur - jalan pintas untuk keluar ke selatan ibu kota, jauh daripada kesesakan lalu lintas.

Dia sedang memandu lancar apabila tiba-tiba perasaan panik mencengkam kerana dia merasakan berada di tengah-tengah jalan yang tiada penghujungnya!

Tangkas dia mendail nombor kecemasan - 1-300-88-7188 - menggunakan telefon bimbitnya untuk meminta bantuan.

Pasukan peronda bermotosikal datang membantunya dan mengiringi Betty keluar dari SMART - ya, singkatan nama bagi Stormwater Management and Road Tunnel, yang berfungsi dua dalam satu, menjadi terowong kenderaan dan terowong air.

Secara puratanya seseorang pemandu tidak harus berada di dalam terowong ini lebih daripada lima minit ketika memandu dalam bukan waktu puncak pada kelajuan 60km sejam, kata Mohd Fuad Kamal Ariffin, Pengurus Besar SMART, semasa menceritakan insiden yang berlaku dua tahun lalu ketika SMART baru saja dibuka kepada orang ramai.

Insiden ini merupakan satu daripada beberapa kejadian yang berlaku dalam beberapa bulan pertama selepas pembukaan pada 14 Mei 2007 terowong pelbagai guna yang terpanjang di dunia ini, yang mengandungi lebuh raya kenderaan dua dek kira-kira 3 km panjang dan terowong air banjir sepanjang 9.7 km.

Hari ini lebih daripada 33,000 pemandu menggunakan SMART setiap hari. Ia dibina untuk melencongkan air banjir dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dan kedua-duanya boleh berfungsi secara serentak.

Mohd Fuad berkata memang menjadi prosedur standard operasi (SOP) SMART bagi pasukan perondanya untuk sampai ke tempat yang memerlukan bantuan dalam masa lima minit, di mana jua sepanjang lebuh raya ini, dan pihak pengurusan tidak pernah gagal dalam mematuhi prosedur itu selama ini.

Terowong kenderaan ini memberikan laluan alternatif kepada pemandu dari selatan -- Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuh raya Persekutuan, Besraya dan Lebuh raya Timur-Barat -- untuk masuk dan keluar ke pusat bandar raya.

Tujuannya ialah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dari selatan bandar raya ke pusat ibu kota, mengurangkan masa perjalanan mengikut laluan di situ daripada kira-kira 45 minit kepada 15 hingga 20 minit semasa waktu puncak, kata Mohd Fuad.

Terowong air banjir pula dibina untuk mengurangkan kira-kira 45 peratus banjir di pusat bandar raya yang menjejaskan kawasan Masjid Jamek, Lebuh Ampang dan Jalan Melaka.

KEUTAMAAN 5K

Pasukan SMART Ronda, yang merupakan sebahagian daripada usaha pengurusan untuk memberikan jaminan keselamatan dan keselesaan pemandu yang menggunakan lebuh raya ini, membuat rondaan 24 jam untuk memberikan bantuan pada bila-bila masa yang diperlukan.

"Kami menekankan kepada 5K dalam operasi kami -- kecekapan, keselamatan, keselesaan, kualiti dan keuntungan -- dalam memastikan pemandu merasa selamat, selesa dan yakin memandu di dalam terowong ini," kata Mohd Fuad.

Pusat Kawalan Lebuh raya itu, yang merupakan nadi operasi, dikendalikan 24 jam oleh pengawal trafik terlatih bagi memastikan aliran lancar lalu lintas di sepanjang terowong SMART. Mereka memantau terowong ini melalui CCTV yang membolehkan mereka melihat keseluruhan laluan kenderaan ini.

Mohd Fuad berkata SMART ERT, pasukan kecemasan tunggu sedia 24 jamnya, bekerjasama rapat dengan polis, hospital serta jabatan bomba dan penyelamat dan memberi respons segera kepada sebarang insiden kecemasan dan kemalangan yang berlaku di dalam terowong.

"Satu lagi fakta yang tidak diketahui ramai ialah terowong SMART kami menyediakan liputan siaran radio dan telefon bimbit tanpa gangguan. Pemandu dan penumpang boleh terus mendengar stesen radio kegemaran mereka dan membuat serta menerima panggilan daripada telefon bimbit mereka semasa di bawah tanah," katanya.

SMART juga menyediakan sistem mesej berubah-ubah untuk memberikan pemandu maklumat terkini mengenai arahan lalu lintas dan mesej membantu mereka mengelakkan sebarang ketidakselesaan atau insiden dan secara umumnya bagi melancarkan aliran trafik.

Pintu masuk dan keluar lebuh raya SMART terletak di Jalan Sungai Besi berhampiran pangkalan udara Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM), di Jalan Tun Razak dekat bulatan Kampung Pandan bersebelahan RHB Bank dan di Jalan Sultan Ismail di persimpangan lampu trafik Hotel Park Royal, bersebelahan Berjaya Times Square.

Lima belas pintu kecemasan boleh didapati pada jarak 250 meter setiap satu di dalam terowong ini, dan terdapat enam syaf keluar ke bahagian permukaan. Telefon kecemasan atau SOS tersedia di semua pintu keluar.

LIMA MINIT DI DALAM TEROWONG

Mohd Fuad berkata secara purata seseorang pemandu itu tidak boleh memandu lebih daripada lima minit di dalam terowong semasa bukan waktu puncak pada kelajuan 60km sejam bagi memastikan tidak berlaku kesesakan di bawah tanah.

Jika barisan panjang lalu lintas melebihi dua pertiga daripada laluan terowong ini, kenderaan lain akan dihalang memasukinya untuk membolehkan mereka yang berada di dalam, bergerak keluar dengan mudah, jelas beliau.

Katanya atas sebab keselamatan, hanya kereta, MPV dan SUV yang tidak melebihi ketinggian dua meter dibenarkan memasuki terowong ini, sambil berkata SMART telah mengadakan beberapa latihan kecemasan dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai langah-langkah keselamatan yang patut diambil dalam sebarang kejadian yang tidak dingini, termasuk mengendalikan kenderaan yang membawa bahan mudah terbakar di bawah tanah.

Sebagai lebuh raya pertama dengan dwi fungsi dan terowong air banjir terpanjang di Asia Tenggara dan yang kedua terpanjang di Asia, penyelenggaraan , termasuk kebersihan, memang paling diutamakan.

"Semuanya penting bagi kami...daripada sekecil-kecil mentol lampu hinggalah kepada operasi laluan air dan pencegahan banjir," katanya sambil menjelaskan bahawa ia satu tugas 24 jam seminggu yang memerlukan pemerhatian rapi.

PENYENGGARAAN YANG BAIK

Penyelenggaraan yang baik juga penting untuk menjamin keselamatan terowong kenderaan ini. Seperti yang ditegaskan Mohd Fuad, soalan biasa yan diajukan di awal permulaan operasinya ialah apakah terowong ini benar-benar selamat.

Pemeriksaan berkala terhadap beberapa ciri unik terowong ini sentiasa dilakukan, sebagai contoh pemeriksaan setiap minggu terhadap pintu kawalan automatik banjir, pintu penghalang air dihujung kedua-dua terowong kenderaanraya di dalam bahagian terowong air.

Pintu ini akan menukar sistem terowong kenderaan menjadi terowong air untuk melencongkan air banjir dari lembangan dan takungan simpanan air ke dalam Sungai Kerayong dan kemudian kembali ke Sungai Klang.

Pintu masuk dan keluar terowong lebuh raya kenderaan ini turut mempunyai ciri tambahan pintu keluli kawalan banjir yang berfungsi menggunakan sistem hidrolik.

"Kami akan memeriksa pintu-pintu ini setiap bulan memandangkan jika berlaku banjir dan pintu jalan ini tidak berfungsi, kami tidak boleh menggerakkan sistem banjir dan air akan melimpah. Pintu jalan ini memisahkan di antara kawasan kering dan basah di dalam terowong," katanya.

Satu lagi komponen yang sentiasa diperiksa, sekurang-kurangnya dua kali seminggu, ialah pintu penahan air yang menuju ke bahagian peralatan SMART. Pada hari-hari biasa, pintu ini digunakan sebagai laluan pintas pada jarak 250 meter setiap satu.

Laluan ini bertindak sebagai jalan keluar ketika kecemasan tetapi semasa banjir, pintu-pintu ini ditutup rapat, kata Mohd Fuad. Bagi kerja penyelenggaraan yang melibatkan keseluruhan sistem utama terowong SMART ini, termasuk pemeriksaan perisian, terowong ini perlu ditutup dari pukul 11 malam hingga 6 pagi.

Bagi memastikan kebersihan terowong pula, SMART menyumberluar perkhidmatannya kepada Alam Flora yang telah merekacipta alat pembersih jalan khusus untuk terowong ini. Operasi pembersihan dilakukan di sebelah malam bagi memastikan gangguan yang minimum terhadap lalu lintas.

Mohd Fuad berkata terowong SMART juga dilengkapi dengan syaf pengalihan udara atau laluan keluar, masing-masing pada jarak satu kilometer di dalam terowong kenderaan dan bagi melindungi sistem ini semasa banjir, sistem ini mempunyai beberapa syaf yang setiap satu memilik ekzos dan injektor udara bersih.

Reka bentuk ini membolehkan kipas yang terletak di luar terowong SMART untuk mewujudkan aliran memanjang di dalam terowong di antara syaf, yang membolehkan udara di dalam terowong sentiasa diperbaharui, dan bagi membolehkan wasap disedut keluar. Ciri ini juga membolehkan asap dikawal jika berlaku kebakaran.

Mohd Fuad berkata bagi memastikan sistem SMART dan operasinya di tahap yang terbaik, pemantuan juga dilakukan oleh dua agensi -- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Penunjuk Pencapaian Utama saya bagi lebuh raya SMART ialah ia harus berada pada kedudukan lima teratas dalam kalangan 23 lebuh raya yang dikendalikan LLM, terutama di Lembah Klang," katanya.

JPS, dari satu segi, memberi tumpuan kepada cara SMART mengendalikan masalah banjir dan setakat ini, menurut Mohd Fuad, SMART berjaya mencegah tujuh banjir besar berlaku di bandar raya dan berjaya menyalurkan air banjir ke kolam simpanan Kampung Berembang ke Sungai Kerayong, sebanyak 22 kali tahun lepas.

KENAPA MASIH BERLAKU BANJIR

Bagaimanapun semasa banjir besar berlaku pada 3 Mac di ibu kota, peranan SMART tidak dapat dielakkan dipersoal orang ramai.

Mohd Fuad menjelaskan bahawa banjir kilat itu berlaku semasa sebahagian besar hujan lebat yang turun tertumpu di kawasan tadahan Sungai Batu dan Sungai Gombak dan ribut petir itu menyebabkan air Sungai Batu tidak dapat dibendung dan melimpah ke beberapa kawasan rendah seperti di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kedua-dua sungai itu bukan di dalam kawasan tadahan sistem terowong SMART, katanya.

Tetapi pada hari itu, sistem SMART berjaya menyalurkan sejumlah 700,000 meter padu air banjir di kolam Kampung Berembang ke kolam takungan Taman Desa melalui terowong ini. Hasilnya, air sungai di kawasan sekitar stesen LRT Masjid Jamek LRT tidak melimpah.

Mohd Fuad berkata peranan SMART dalam menebat banjir di kawasan itu berjaya atas tiga mod utama operasi berdasarkan aras air dan kadar alir di pertembungan Sungai Klang/Sungai Ampang dan status operasi terowong lebuh raya.

Dalam mod pertama, semasa cuaca baik atau hujan tidak lebat, tiada air banjir dilencongkan ke dalam sistem SMART.

Mod kedua dilancarkan apabila berlaku hujan sederhana. Air banjir akan disalur masuk ke dalam terowong pintas di bahagian bawah terowong ini semasa terowong kenderaan masih dibuka kepada lalu lintas.

Terowong ini akan hanya ditutup apabila mod ketiga beroperasi. Bagaimanapun masa yang memadai diberikan untuk membolehkan kenderaan terakhir di dalam terowong keluar sebelum pintu auotomatik penahan air dibuka untuk memberi laluan kepada air banjir.

Terowong kenderaan akan dibuka semula kepada lalu lintas dalam masa 48 jam selepas penutupannya dalam keadaan yang bersih dan semua berada pada kedudukan asalnya.

LANGKAH SETERUSNYA

Dua tahun selepas beroperasi, SMART, menurut Mohd Fuad sedang menimbangkan untuk mengurangkan kekerapan penutupan terowong ini walaupun Mod 3 diisyaratkan beroperasi tetapi usaha mengelakkan banjir dan keselamatan pemandu masih diutamakan.

"Kami akan meneliti data (kadar hujan dan air) dan berbincang dengan JPS. Kami percaya ia boleh dilakukan. Sebagai contoh, hujan lebat di Ampang akan menggerakkan Mod 3 untuk beroperasi tetapi jika pusat bandar ketika itu masih kering, kita boleh mengelakkan penutupan," katanya.

Orang ramai, terutama komuniti perniagaan di sekitar Masjid Jamek dan kawasan berdekatan, paling mendapat manfaat daripada kewujudan terowong SMART ini dan mereka sudah lama tidak bersungut bagaimana banjir menjejaskan dan merosakkan perniagaan mereka.

Jika SMART boleh mengurangkan isyarat Mod 3 bagi penutupan terowong ini, tetapi pada masa yang sama, melakukan tebatan banjir, memastikan terowong kenderaan selamat untuk digunakan dan memastikan perjalanan lalu lintas tidak terganggu, orang rami akan lebih menghargainya, kata Mohd Fuad.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels