Bernama.com
Am 08 Mei, 2009 22:46 PM
 
Peti Aduan Di Sekolah Untuk Cadangan Tangani Jenayah


JOHOR BAHARU, 8 Mei (Bernama) -- Polis Johor dengan kerjasama Jabatan Pelajaran negeri akan memasang peti aduan di semua sekolah di negeri ini sebagai alternatif kepada pelajar sekolah menyampaikan sebarang aduan atau cadangan bagi menangani jenayah di kalangan pelajar.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat majlis permuafakatan antara polis dengan Jabatan Pelajaran Johor hari ini yang bermatlamat menangani masalah disiplin pelajar.

"Sebelum ini kita ada terima aduan mengatakan pelajar tidak mempunyai saluran untuk menyampaikan masalah mereka. Jadi, peti aduan itu akan diletakkan di sudut polis di sekolah yang akan dipantau oleh seorang pegawai polis dan guru disiplin," katanya.

Hadir sama pada mesyuarat itu Pengarah Pelajaran Johor Sufa'at Tumin.

Mohd Mokhtar berkata berdasarkan statistik pada tahun lepas, sebanyak 147 kes jenayah dilaporkan berlaku di kalangan pelajar sekolah dengan sebanyak 145 membabitkan pelajar sekolah menengah dan dua lagi, pelajar sekolah rendah.

Untuk empat bulan pertama tahun ini, beliau berkata sebanyak 71 kes jenayah membabitkan pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah turut dilaporkan.

"Bagaimanapun, kadar jenayah ataupun masalah disiplin membabitkan pelajar belum mencapai tahap yang terlalu serius seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak. Usaha akan terus dipertingkat bagi mengatasi masalah itu," katanya.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels