Bernama.com
Am 06 Mei, 2009 19:58 PM
 
Pesara ATM Tidak Mendaftar Bagi Melayakkan Diri Untuk Pencen


KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bekas Sarjan Tentera Udara Malaysia (TUDM) Faizzal Jinong Abdullah gagal menerima pencennya kerana beliau tidak melaporkan diri untuk dokumentasi akhir di Jabatan Arah Rekod dan Pencen (JRP) sebelum beliau bersara, kata Kementerian Pertahanan.

Berikutan dengan masalah tersebut, fail peribadinya tidak dapat ditutup dan bayaran ganjaran dan pencen perkhidmatannya tidak dapat dilaksanakan, menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat kementerian itu di sini hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas laopran akhbar tempatan mengenai dakwaan Faizzal Jinong terpaksa hidup merempat setelah tidak menerima pencen setelah bersara dari TUDM.

"Menurut pihak JRP, kad pengenalan awam, folder pengakuan perkhidmatan dan kad bekas tentera yang sepatutnya diserahkan kepada beliau semasa dokumentasi akhir di JRP tidak dapat dilakukan kerana beliau gagal melaporkan diri.

"Di samping itu, kad pengenalan awamnya masih terdapat di JRP. Beliau yang telah berkhidmat selama 22 tahun 9 bulan layak dibayar Pencen Perkhidmatan, Ganjaran Perkhidmatan dan Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR)," katanya.

Kenyataan itu berkata pihak kementerian itu telahpun membuat pembayaran Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) pesara sebanyak RM 904.61 kepada Faizzal Jinong dan telahpun dikreditkan ke akaunnya pada 8 Disember 2008.

JRP juga telah mengambil inisiatif untuk menguruskan dokumen bayaran Pencen dan Ganjaran perkhidmatan beliau di mana Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah mengkreditkan RM57,251.19 (ditolak pinjaman perumahan RM 3,094.98) ke akaun beliau pada 25 Mac lepas, katanya.

"Bagi bayaran Pencen Perkhidmatan telah dibayar kepada beliau pada 21 April lepas yang berjumlah RM9,840.21 (termasuk bayaran tunggakan pencen mulai 11 Oktober 2008).

"Mulai bulan Mei 2009 bayaran pencen pesara berjumlah RM 1,473.65 sebulan. Setelah ditolak bayaran pinjaman perumahan kerajaan, baki pencen bersih adalah RM 957.82 sebulan," kata kenyataan tersebut.

Pihak ATM juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dilaporkan di dalam beberapa akhbar dan menasihatkan pihak media supaya mendapatkan maklumat yang tepat daripada kementerian sebelum menyiarkan berita atau dakwaan daripada individu-individu tertentu.

Kenyataan akhbar itu juga menyatakan bahawa pihak ATM menjalankan tugas sebaik mungkin meskipun terdapat pesara yang tidak pernah ambil peduli tentang urusan dokumentasi akhir mereka.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels