Bernama.com
Am 23 April, 2009 11:33 AM
 
Agong, Permaisuri Akhiri Lawatan Ke Chile


Daripada Abdul Aziz Harun

SANTIAGO (Chile), 23 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengakhiri lawatan negara ke Chile pada Rabu.

Antara yang hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Santiago untuk mengucapkan selamat berangkat kepada baginda berdua adalah Pemangku Pengarah Jabatan Majlis dan Protokol Kementerian Hal Ehwal Luar Chile Papricio Becker, Duta Chile ke Malaysia Hose Menuel Ovalle dan Duta Malaysia ke Chile Abdullah Faiz Mohd Zain.

Pasangan Diraja itu tiba di sini untuk lawatan negara pada Ahad dan telah bertemu dengan Presiden Chile Michelle Bachelet pada Isnin.

Selepas ini baginda berdua akan melawat Uruguay.

Terdahulu pada sebelah pagi, Tuanku Mizan melawat ibu pejabat Unit Berkuda Polis Chile di sini. Baginda tiba di Calle Cuacho Verde pada pukul 10 pagi dan disambut Ketua Polis Chile Jeneral Eduardo Gordon.

Sekumpulan penunggang daripada unit itu kemudian menghiburkan baginda dan para tetamu dengan persembahan kemahiran dalam mengendalikan kuda dan mempertontonkan gerakan-gerakan mengagumkan dalam penunggangan kuda.

Sementara itu, dalam program berlainan, Tuanku Nur Zahirah melawat Fina Artesania Chilena (FABA) bagi melihat kehalusan Lapis Lazuli, batu permata yang hanya boleh didapati di Chile dan Afghanistan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels