Bernama.com
Am 21 April, 2009 16:22 PM
 
Tuanku Aishah Rohani Dianugerahi Darjah Kerabat Negeri Sembilan


KUALA PILAH, 21 April (Bernama) -- Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Negeri Sembilan Yang Amat Dihormati D.K. (NS) kepada Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.

Istiadat pengurniaan darjah kebesaran tertinggi Negeri Sembilan itu berlangsung di Dewan Istana Besar Seri Menanti dekat sini.

Darjah ini yang diwujudkan pada 1978 dikurniakan kepada kaum kerabat diraja Negeri Sembilan dan Sultan dan Raja di Malaysia yang bersahabat karib dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Turut hadir Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin; Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan dan ketua-ketua jabatan.

Tuanku Aishah Rohani, dilantik dan ditabalkan sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Ke-11 dalam istiadat penuh tradisi diraja Negeri Sembilan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 14 April lepas.

Pelantikan dan pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan adalah istiadat penting yang kebiasaannya diadakan sebelum pertabalan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Tuanku Aishah Rohani dari kerabat diraja Terengganu dilahirkan di Batu Gajah, Perak, pada 19 Jun 1952. Baginda adalah puteri kepada Almarhum Tengku Seri Utama Raja, Tengku Besar Mahmud Sultan Zainal Abidin III dan Almarhum Toh Puan Zainun Meriam Haji Su Mahmud.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan kemudian di Sekolah Convent Taiping serta Bukit Nanas Kuala Lumpur.

Ketika berkhidmat di sebuah bank di Kuala Lumpur, baginda diperkenalkan dengan Tuanku Muhriz dan mendirikan rumah tangga pada 25 April 1974.

Baginda mempunyai tiga putera, iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin; Tunku Zain Al-Abidin; dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin.

Sebelum itu, Tuanku Muhriz menyerahkan watikah pelantikan Mufti baru Kerajaan Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad. Majlis itu berlangsung di Balai Kesenangan Merah, Istana Besar Seri Menanti.

Pelantikan Mohd Yusof, 64, berkuatkuasa 1 April lepas.

Mohd Yusof yang berkelulusan Master Perundangan Syariah dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan berasal dari Kampung Masjid Tua, Air Mawang, Johol, menggantikan Datuk Mohd Murtadza Ahmad yang tamat kontrak perkhidmatannya pada 31 Dis 2008.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels