Bernama.com
Am 04 April, 2009 18:53 PM
 
Penganjur Tomoi Mesti Berdaftar Dengan Persatuan


TANAH MERAH, 4 April (Bernama) - Penganjur pertandingan tomoi Siam di negeri ini diwajibkan berdaftar dengan Persatuan Boxing Kelantan (PBK), kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan meluluskan permit pertandingan jika pihak penganjur gagal mendaftar dengan persatuan itu.

"Pihak penganjur mesti mendapatkan kebenaran daripada Persatuan Boksing Kelantan sebelum mereka dibenarkan mengadakan pertandingan itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan persatuan berkenaan membuat pemantauan setiap pertandingan yang dianjurkan bagi mengelakkan mereka menyalahgunakan permit dan syarat-syarat pertandingan.

Katanya pertandingan itu yang pernah diharamkan kerajaan negeri pada 1993 kerana tidak terkawal tetapi larangan itu ditarik balik tiga tahun lepas.

"Kerajaan negeri menyerahkan tugas pemantauan pertandingan itu kepada pihak persatuan bagi memastikan pertandingan itu menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, seperti tempoh sesuatu pertandingan, penyertaan, dan kawasan atau lokasi pertandingan," katanya.

Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dua hari lalu menyatakan kerajaan negeri bersetuju mengkaji semula kaedah pertandingan itu jika dianggap ia berupa sukan ganas dan tidak sesuai diadakan di negeri ini.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels