Bernama.com
Am 03 April, 2009 21:34 PM
 
Harga Naik Mendadak, Hotel Sekitar Taiping Habis Ditempah


TAIPING, 3 April (Bernama) -- Menjelang hari pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak Selasa ini, bilik-bilik hotel terutama di sekitar bandar ini didapati sudah habis ditempah walaupun harganya naik mendadak berikutan permintaan yang tinggi.

Kebanyakan bilik hotel itu telah ditempah bermula bulan lepas sejak pengumuman tarikh pilihan raya kecil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga 8 April ini, yang kesemua bilik ditempah oleh parti politik dan orang perseorangan yang kebanyakannya terlibat dengan pilihan raya kecil itu.

Tinjauan Bernama mendapati hotel-hotel sekitar Taiping iaitu yang dahulunya berharga RM70 satu malam dinaikkan kepada RM98 satu malam, ada yang menaikkan daripada kadar biasa harga RM110 kepada RM140 satu malam dan ada hotel yang dinaikkan sehingga RM160 satu malam.

Namun ada sebuah hotel menawarkan harga promosi sebanyak RM93 satu malam berbanding hari biasa RM158 pada kadar biasa.

Boleh dikatakan kesemua hotel di bandar ini dan sekitarnya telah penuh ditempah dengan mengenakan kadar harga lebih tinggi daripada biasa.

Malahan kebanyakan harga rumah tumpangan sekitar Taiping dan beberapa kawasan berhampiran juga naik mendadak sehingga 100 peratus.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Ismail Saffian, calon PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 Feb lepas, akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Roslan memenangi kerusi berkenaan setelah menewaskan calon BN Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan majoriti 1,566 undi serta calon Bebas M. Mohganan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels