Bernama.com
Am 24 Mac, 2009 19:30 PM
 
PDRM Hadapi Situasi Mencabar Capai Visi Dan Misi


KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Gejala dadah adalah antara cabaran paling getir yang dihadapi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam mencapai visi dan misi ke arah menjadikannya satu pasukan keselamatan yang lebih kuat untuk memberi perkhidmatan berkualiti kepada masyarakat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin berkata matlamat PDRM adalah membanteras gejala itu sehingga mencapai tahap sifar.

"Mungkin itu mustahil. Tapi sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan kadarnya, sekaligus menjadikan negara ini bersih," katanya kepada Bernama Selasa menjelang sambutan Hari Polis ke-202 esok.

Zulhasnan berkata jabatan itu sedang berhadapan dengan satu misi menangani 'trend' pengedaran dadah jenis sintetik yang banyak dirampas dalam serbuan oleh polis.

"Apa yang dirancangkan adalah mengikut strategi asal iaitu memperkemaskan segala tindakan dan dalam hal ini saya amat berharap kerjasama yang erat daripada pegawai dan anggota bawahan, serta ikhlas demi mencapai misi yang satu," katanya.

Katanya harapan Jabatan Narkotik adalah untuk meneruskan misi dan visi yang ditetapkan, meneruskan kejayaannya dan mengatasi kelemahan yang ada.

Bagi Bahagian Forensik (D10) PDRM pula, cadangan untuk menaik taraf bahagian itu menjadi sebuah jabatan merupakan satu pengiktirafan yang tidak terhingga dan menjadi pemangkin untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mencapai visi serta misi yang dihajatkan.

Ketua Penolong Pengarahnya Datuk Abdul Malek Haron berkata selaras dengan perancangan lima tahun PDRM, Jabatan Forensik diharap mampu menjadi sebuah jabatan persendirian yang boleh berdikari seperti jabatan lain.

Katanya bahagian forensik sentiasa menjadi tempat rujukan dalam membantu menyelesaikan kes-kes jenayah termasuk kes narkotik.

"Kita harap bahagian ini mampu melipatgandakan usaha dan tanggungjawabnya dalam memberi bantuan secara forensik dalam kes jenayah di peringkat awal supaya penyiasatan boleh dijalankan lebih profesional," katanya.

Beliau berkata dengan teknologi (perisian data forensik berkomputer) dan anggota yang berkaliber bahagian itu mampu memudahkan sesuatu penyiasatan dengan mengemukakan bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah.

Bagi DSP R. Theramadurai dari Bahagian Latihan Pasukan Gerakan Marin Bukit Aman pula, misi dan visi pasukan itu kini bergerak seiring dengan peranan dan tanggungjawab PDRM iaitu menghapuskan aktiviti jenayah dan keganasan terutama di perairan Malaysia daripada ancaman luar.

"Itu tentunya menjadi keutamaan kita setelah 62 tahun Pasukan Gerakan Marin ini ditubuhkan. Saya melihat Pasukan Marin telah mencapai kejayaan yang cemerlang hasil bantuan unit-unit PDRM yang lain," katanya.

Theramadurai berkata Unit Gempur Marin yang baru ditubuhkan terbukti berjaya menghapuskan aktiviti lanun, rompakan dan keganasan.

Katanya pelbagai strategi digubal bagi meningkatkan peranan pasukan itu dalam membantu jabatan-jabatan polis yang lain ke arah mencapai satu misi iaitu menghapuskan jenayah.

"Kerjasama rapat inilah yang sebenarnya menjadi resipi kejayaan kami," katanya.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels