Bernama.com
Am 03 Mac, 2009 15:45 PM
 
300,000 Dilarang Ke Luar Negara - Imigresen


KOTA KINABALU, 3 Mac (Bernama) -- Kira-kira 300,000 rakyat negara ini termasuk 78,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilarang keluar dari negara, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mahmood Adam.

Beliau berkata mereka ini telah disenarai hitam oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan seperti pihak keselamatan, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Pendaftaran dan PTPTN.

Seramai 200,000 warga asing pula tidak dibenarkan masuk ke negara ini atas pelbagai sebab termasuk faktor keselamatan, katanya kepada pemberita semasa melawat Pejabat Imigresen Sabah di Likas, hari ini.

Mahmood menasihati orang ramai supaya menyemak status pasport mereka sama ada ada disekat atau tidak untuk ke luar negara.

Mereka boleh berbuat demikian dengan melayari laman web Jabatan Imigresen di http://www.imi.gov.my.

"Ada baiknya orang ramai membuat semakan awal secara online bagi mengelakkan rasa malu apabila mengetahui pasport mereka tidak sah, sewaktu tiba di lapangan terbang untuk ke luar negara," katanya.

Beliau berkata sistem online itu diperkenalkan sejak 5 Feb lepas dan menerima lebih 200,000 hit setakat ini.

Mahmood berkata Pusat Imigresen, Kurantin dan Keselamatan yang baru di Sabah iaitu di Semporna, Kudat, Lahad Datu dan Menumbok akan dibuka tahun ini manakala pejabat di Ranau dijangka mula beroperasi Julai ini.

Katanya pelanggan kini boleh mendapatkan perkhidmatan permohonan pasport (baru dan lanjutan) pada hari Sabtu dan Ahad di pejabat Imigresen Kota Kinabalu.

Beliau berkata pembukaan kaunter dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari itu, bertujuan memberi kemudahan kepada pelanggan yang tidak dapat berurusan pada Isnin hingga Jumaat, telah dilaksanakan sejak 17 Jan lepas.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels