Bernama.com
Rencana 26 Februari, 2009 11:38 AM
 
Menerap Budaya Kerja Cemerlang Di Petronas


Oleh Mohd Azhar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Sekiranya berhasrat untuk kekal sebagai peneraju dalam persekitaran perniagaan hari ini, yang sememangnya amat kompetitif, adalah penting bagi setiap perbadanan mengutamakan pembangunan sumber manusia secara berterusan.

Selaras dengan matlamat itu jugalah syarikat petroleum nasional, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berusaha gigih dalam membentuk pemimpin korporat masa depan selain meningkatkan kecekapan teknikal tenaga kerja yang kedua-duanya merupakan elemen teras dalam strategi korporat.

Menyedari dari awal lagi bahawa sumber manusia merupakan aset paling bernilai untuk mencapai matlamatnya dalam industri petroleum yang sangat mencabar, PETRONAS membuka jabatan latihan dalaman pada 1979, yang merupakan pendahulu kepada anak syarikat latihan, PETRONAS Management Training Sdn Bhd (PMTSB).

PMTSB sentiasa berpegang kepada matlamat untuk muncul sebagai pembekal khidmat latihan yang disegani serta rakan PETRONAS dalam pembangunan perniagaan dan kecekapan teknikal, kata ketua pegawai eksekutif PMTSB Khairul Azman Yasin kepada Bernama dalam satu temubual eksklusif baru-baru ini.

"Sejak 16 tahun yang lepas PMTSB telah berkembang dengan signifikan daripada sebuah jabatan latihan dalaman PETRONAS, kepada sebuah anak syarikat yang diberi amanah sebagai pemboleh utama kepada menjana kompetensi dan pembangunan insan, dan ini akan terus seiring dengan keperluan perniagaan jangka panjang PETRONAS", tambah Khairul.

PERANAN TIDAK TERNILAI PMTSB

PMTSB diperbadankan sebagai anak syarikat PETRONAS pada 1992 dengan perniagaan terasnya membentuk, membangun dan menyampaikan satu julat menyeluruh program-program latihan industri gas dan minyak dengan pengiktirafan antarabangsa bagi Kumpulan PETRONAS.

Anak syarikat ini memainkan peranan penting dalam membantu kakitangan PETRONAS menimba kemahiran dan kecekapan menerusi program-program pembelajaran inovatif serta latihan teknikal 'hands-on'.

Secara ringkas, kakitangan PETRONAS mempelajari kemahiran khusus di PMTSB berkaitan dengan tugas demi kemajuan kerjaya mereka dalam organisasi.

"Sebagai sebuah pusat kecemerlangan, PMTSB merupakan sebuah daripada pemboleh utama dalam memperkenalkan elemen-elemen 'Triple Plus' yang terdiri daripada kemahiran kepimpinan, menjana keupayaan, dan perubahan minda dan tingkah-laku di kalangan tenaga kerja PETRONAS", tambah Khairul.

PMTSB melaksanakan program latihan dan pembangunan menerusi Pusat Latihan Pengurusan PETRONAS (PERMATA) berhampiran Putrajaya dan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di Batu Rakit, Terengganu, kedua-duanya menampung segmen tenaga kerja berlainan di PETRONAS.

PERMATA menawarkan latihan pengurusan dan pembangunan kepimpinan bagi mereka di peringkat penyeliaan, pengurusan pertengahan dan pengurusan kanan sementara INSTEP mengkhusus dalam meningkatkan kemahiran teknikal bagi masyarakat pekerja teknikal dan terlibat dalam menyediakan latihan berasaskan kemahiran kepada pekerja baru untuk teknikal dan operator.

TAWARAN PERMATA

PERMATA menawarkan lebih daripada 100 program latihan meliputi julat luas disiplin pengurusan, kemahiran fungsi serta modul-modul pembangunan.

PERMATA berhasrat menjadi institusi pengurusan perniagaan bidang yang menawarkan penyelesaian pembelajaran yang bertumpu serta khidmat rundingan kepada PETRONAS dan rakan-rakan perniagaan strategik.

Program dan modul latihannya dibangun dan dinilai secara dalaman oleh Jawatankuasa Teknikal Rekabentuk dan Pembangunan Program (PDDTC) untuk memastikan ia selaras dengan keperluan pertubuhan serta standard antarabangsa.

"Semasa mereka maju dalam kerjaya, eksekutif-eksekutif muda pula melalui program Siri Pembelajaran Kepimpinan PETRONAS (PLLS) yang menawarkan asas-asas kemahiran kepimpinan.

"Apabila mereka menduduki jawatan-jawatan pengurusan pertengahan, mereka akan melalui program Menjana Kecemerlangan Pengurusan (BME) dan Program Pembangunan Pengurusan (MDP), yang dibentuk khusus dengan kerjasama University of Melbourne", kata Khairul.

Bagi mereka di barisan teratas, PERMATA berusaha dengan kerjasama INSEAD dari Perancis, telah membentuk Program Pembangunan Pengurusan Kanan (SMDP) untuk meningkatkan strategik kepintaran dalam perniagaan dan keupayaan pengurusan di kalangan pengurus kanan serta pengurus besar merentasi seluruh perbadanan, tambah beliau.

TAWARAN INSTEP

INSTEP menawarkan program-program teknikal yang disediakan khusus bagi industri petroleum yang menumpukan kepada pengalaman 'hands-on' iaitu latihan tempat kerja di kemudahan-kemudahan syarikat.

Program-program Teknologi Petroleum 1 & 2 (PTP 1 & 2), yang mempunyai akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), melatih lepasan sekolah dan pemegang diploma dalam pelbagai disiplin teknikal seperti mekanikal, elektrik, makmal, proses dan instrumentasi.

INSTEP juga menawarkan program modular bagi kakitangan peringkat eksekutif dan Program-program Pentataran bagi juruteknik dan pengendali bukan eksekutif.

Selaras dengan itu, INSTEP sedang beralih ke arah sebuah pusat kecemerlangan teknikal dengan tanggungjawab dalam membangunkan kumpulan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi serta kompeten dari segi teknikal untuk memenuhi keperluan perniagaan jangka panjang PETRONAS.

Program-program kumpulan kemahiran INSTEP disediakan untuk menawarkan latihan dan pembelajaran dengan menumpukan kepada kesedaran yang lebih tinggi, pengetahuan serta kemahiran, kepada kakitangan mengikut bidang tugasan masing-masing.

"Program-program teknikal dikendalikan oleh kakitangan yang berkelayakan serta berpengalaman luas dalam bidang masing-masing, dengan kaedah yang digunakan adalah selaras dengan sumber yang ada dan matlamat yang telah ditetapkan", kata Khairul.

MENERAPKAN BUDAYA BERPASUKAN

Di PMTSB, kakitangan PETRONAS dilatih untuk menjadi pemimpin yang mampu menganalisis dan merealisasi matlamat mereka.

Menurut Khairul, ciri sebuah pertubuhan yang berjaya adalah yang mengamalkan fleksibiliti secara meluas, mempunyai komitmen terhadap individu, menggunakan sebaik-baiknya semangat kerja berpasukan berteraskan kompeten yang tinggi dan keinginan untuk melihat kelainan.

"Apabila matlamat dibangun dan dikongsi oleh semua peringkat kakitangan, keseluruhan pasukan kerja berfungsi sebagai satu pasukan dan komited sepenuhnya demi kejayaan syarikat. Di setiap peringkat, satu komitmen peribadi akan membawa kepada prestasi yang dipertingkat bagi perbadanan itu dan kepuasan yang lebih lagi kepada kakitangan.

"PMTSB merangkumkan pencapaian individu bersama-sama kefahaman praktikal berhubung kuasa kerjasama dalam penambahbaikan prestasi kakitangan serta produktiviti", jelas beliau.

Jelas sekali, sekumpulan pekerja yang berkemahiran serta bermotivasi tinggi dan berusaha dalam arah yang sama boleh mencapai keputusan yang lebih baik berbanding satu kumpulan sama tetapi tidak sehaluan.

Pekerja-pekerja ini tahu yang kejayaan syarikat di tempat mereka bekerja adalah hasil sumbangan bersama dan komitmen mereka dan CEO.

Kehebatan PETRONAS dan kakitangannya dibuktikan apabila disenaraikan sebagai antara 20 perbadanan dunia yang paling menguntungkan, selain disenaraikan dalam kedudukan 500 teratas Perbadanan Terkemuka Dunia oleh Majalah Fortune Global 500 sejak tiga tahun yang lepas.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels