Bernama.com
Am 10 Februari, 2009 16:44 PM
 
JPJ Hantar Notis Elak Lupa Perbaharui Lesen


BATU PAHAT, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghantar notis peringatan memperbaharui lesen memandu dan lesen kenderaan motor kepada orang ramai mulai bulan ini bagi mengelakkan pemegang lesen terlupa memperbaharui lesen mereka.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata pihaknya sudah menghantar notis peringatan kepada 500,000 pemilik lesen memandu dan 800,000 pemilik lesen kenderaan motor yang tamat tempoh mulai bulan ini.

"Pendekatan ini dibuat bagi memudahkan orang ramai mengingati tempoh tamat lesen memandu ataupun lesen kereta motor mereka mereka. Dengan itu, tiada lagi alasan bagi mereka untuk terlupa memperbaharui lesen," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat JPJ Cawangan Batu Pahat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lajim Ukin, di Sri Gading, di sini hari ini.

Bangunan pejabat bernilai RM2.6 juta itu siap sepenuhnya Januari tahun lepas dan kini menempatkan seorang Penolong Pegawai Penguatkuasa bergred N32, 26 anggota penguatkuasa, 13 pembantu tadbir dan lima kakitangan sokongan.

Solah berkata pemilik lesen memandu dan lesen kenderaan motor perlu segera ke pejabat JPJ atau Pejabat Pos atau melayari laman web JPJ bagi memperbaharui lesen mereka.

Beliau berkata JPJ dalam pada itu juga sedang berusaha untuk memastikan semua pejabat negeri dan cawangan mampu melaksanakan semua perkhidmatan yang diperlukan menjelang penghujung tahun ini.

"Hanya 30 peratus daripada 68 pejabat JPJ di seluruh negara menyediakan semua perkhidmatan barkaitan kepada orang ramai. Ketika ini masih ada pejabat JPJ yang hanya menyediakan perkhidmatan memperbaharui lesen memandu atau lesen kenderaan motor, tetapi apabila ada yang mahu mendaftar kenderaan baru atau membuat pertukaran hak milik, mereka terpaksa pergi ke pejabat cawangan di tempat lain," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels