Bernama.com
Am 03 Februari, 2009 15:00 PM
 
Peluang Pekerjaan Banyak Untuk Pemegang Ijazah Dan Diploma


IPOH, 3 Feb (Bernama) -- Lebih 800,000 pelajar yang kini menuntut di institusi pengajian tinggi tidak akan menghadapi masalah mendapat pekerjaan walaupun pertumbuhan ekonomi negara dijangka rendah pada tahun ini dan beberapa tahun akan datang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata banyak peluang pekerjaan dan perniagaan baru akan diwujudkan kerana kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan awam walaupun sektor swasta sudah mula mengambil pelbagai langkah mengurangkan kos termasuk membuang pekerja.

"Peluang pekerjaan masih ada dalam perniagaan dan perkhidmatan kerana walaupun dengan suasana ekonomi semasa, perbelanjaan dalam negara masih tinggi...jadi, universiti menggalakkan program keusahawanan di kalangan pelajar kerana masih ada pekerjaan biasa dan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengesan kekosongan jawatan dalam sektor industri dan memadan graduan dalam bidang berkaitan.

Beliau berkata hasil kajian yang dijalankan kementerian, kira-kira 80 peratus lulusan diploma dan ijazah sarjana muda mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Kajian yang dijalankan sejak beberapa tahun lepas itu mendapati graduan yang sukar mendapat pekerjaan biasanya adalah lulusan kesusasteraan, katanya.

Mohamed Khaled berkata sektor perkhidmatan awam menyediakan banyak peluang pekerjaan kerana ia sentiasa mempunyai kekosongan walaupun dalam keadaan ekonomi lembap.

Peluang pekerjaan dalam bidang pendidikan juga terbuka luas kerana Kementerian Pelajaran menetapkan nisbah guru dengan murid kepada 1:1.7 dan sasaran itu membuka banyak pekerjaan untuk graduan, katanya.

Katanya tahun ini sahaja, sebanyak 9,700 tempat disediakan untuk diploma pendidikan dan graduan ijazah pertama dalam semua bidang digalakkan memohon menyertai program berkenaan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels