Bernama.com
Am 20 Januari, 2009 18:30 PM
 
PLKN Beri Empat Hari Cuti Tahun Baru Cina


KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 1 siri 6/2009 diberi cuti rehat selama empat hari mulai Ahad ini sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkata ibu bapa dibenar membawa anak-anak mereka pulang mulai pukul 2 petang Sabtu selepas selesai majlis hari terbuka kem masing-masing.

Bagi permohonan sebarang cuti tambahan Tahun Baru Cina, JLKN hanya boleh mempertimbangkan jika alasan yang diberi benar-benar kukuh, kata JLKN dalam kenyataan di sini, Selasa.

"Bagi ibu bapa yang datang sendiri ke ibu pejabat JLKN untuk membuat permohonan, jawapan akan diketahui pada hari yang sama dan bagi yang membuat permohonan luar dari ibu pejabat, keputusan permohonan akan dimaklumkan pada hari berikutnya," kata jabatan itu.

Kenyataan itu berkata semua permohonan hendaklah disertakan alamat lengkap dan terkini bagi memudahkan mereka dihubungi dan dokumen sokongan.

"Jabatan juga ingin memaklumkan kepada ibu bapa, walaupun pada 31 Jan dan 1 Feb merupakan cuti hujung minggu, JLKN telah mengatur pelaksanaan modul wajib bagi menggantikan kekurangan waktu pembelajaran disebabkan cuti panjang sempena Tahun Baru Cina," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels