Bernama.com
Ekonomi 30 Disember, 2008 17:59 PM
 
Syarikat Sabah Sasar Projek Perumahan Terbengkalai Di Luar Sabah


LABUAN, 30 Dis (Bernama) -- KC Project Management Services Sdn Bhd, sebuah syarikat pengurusan projek yang sudah memulihkan beberapa projek perumahan terbengkalai di Sabah, mahu menggunakan kepakarannya membantu menyelesaikan projek-projek bermasalah di negeri lain, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Robert K.C. Chin.

"Adalah merugikan jika pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh oleh KC tidak digunakan sepenuhnya dan diperluaskan ke Semenanjung Malaysia dan Sarawak kerana kami mahu membantu mengaktifkan semula industri pembinaan," katanya dalam satu temu bual.

Chin berkata syarikat itu dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah menerusi Enakmen Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1978 (Sabah) bagi mengurus, mengambil alih kawalan dan menyiapkan projek-projek perumahan terbengkalai sejak 1987.

Beliau berkata KC Project Management Services telah memain peranan penting dalam mewujudkan badan khas bagi memulihkan dan menyiapkan semua projek perumahan terbengkalai di Sabah.

Bagi membantu menghidupkan semula projek-projek rumah tebengkalai, Chin berkata kerajaan negeri Sabah juga mengambil langkah proaktif pada 31 Dis 1994 dengan menubuhkan KKTP Sdn Bhd bagi menyediakan pembiayaan dan mendaftar serta memindah hak milik tanah kepada pembeli rumah tulen.

Langkah itu menjadikan Sabah sebagai salah sebuah daripada beberapa negeri di negara ini yang tidak mempunyai projek perumahan terbengkalai.

Mengulas laporan berita bahawa terdapat 561 pembeli rumah teras setingkat di Seri Kembangan, Selangor, menghadapi masalah apabila projek pembinaan rumah mereka tertangguh, Chin berkata syarikatnya mahu membantu mereka untuk mencari jalan keluar.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels