Bernama.com
Rencana 26 Disember, 2008 11:40 AM
 
Menjana Ummah Gemilang


Oleh Rohana Mustaffa

sempena Sambutan Maal Hijrah pada 29 Dis

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Tahun Masehi 2008 menyaksikan umat Islam menyambut dua kali 1 Muharram untuk dua tahun hijriah 1429 dan 1430.

Signifikannya diabadikan dengan Maal Hijrah di awal dan penghujung tahun Masehi ini di Malaysia disambut dengan tema yang sama -- "Menjana Ummah Gemilang".

"Tema ini relevan untuk diulang, kerana pada setiap masa umat Islam seharusnya memegang hasrat untuk menuju ke arah kegemilangan dan kalau kita ambil semangat Al-Quran, kita harus buktikan bahawa kita benar-benar khairu ummah atau umat terbaik", kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz mengenai rasional mengekalkan tema ini untuk sambutan Maal Hijrah 1430.

Beliau menganggap bahawa menjadi umat yang terbaik akan memastikan umat Islam sebagai peneraju dan sentiasa mendahului dalam segala bidang.

Dalam wawancara khas Bernama dengan Wan Mohamad sempena sambutan Maal Hijrah 1430, beliau menghuraikan mengenai program mengisi sambutan ini, isu berkaitan, dan cabaran yang dihadapi umat Islam Malaysia dalam proses penjanaan menjadi gemilang.

PETUNJUK KEGEMILANGAN

"Saya meletakkan petunjuk kegemilangan umat dalam konteks Malaysia dengan bersandarkan pencapaian dan penguasaan kita dalam sektor utama yang kritikal, terutama pendidikan", kata beliau.

Katanya, Malaysia sudah berjaya membuktikan yang ia memberi peluang sama rata untuk semua dalam sektor pendidikan, sama ada dari segi gender, atau taraf sosio ekonomi.

Mungkin negara lain berjaya, tetapi sukar untuk mencari, misalnya, golongan profesional wanita, dan sektor pendidikan dimonopoli golongan kelas menengah yang mendapat peluang pendidikan tinggi, katanya.

Di Malaysia, Wan Mohamad meminjam statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menunjukkan peluang dan penglibatan hampir sama rata, gender dalam bidang profesional, bagi tahun 2007.

Doktor gigi 41.8 peratus (lelaki), 58.2 peratus (wanita), peguam 54.1 peratus (lelaki), 45.9 peratus (wanita), akauntan 55.1 (lelaki) dan 44.9 peratus (wanita).

Anak-anak desa daripada orang kampung biasa pula turut berpeluang untuk melonjakkan diri ke hadapan dalam bidang pendidikan, begitu juga apabila Malaysia menjadi tumpuan pelajar antarabangsa untuk mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang dengan penambahan ketara bilangan mereka di pusat-pusat pengajian tinggi.

Tetapi beliau mengingatkan bahawa di samping umat Islam bersyukur dan gembira dengan situasi yang ada, gemilangkah kedudukan mereka sebenarnya, jika mengikut penunjuk kaum, umat Islam ketinggalan dalam beberapa bidang ilmu yang perlu diterokai dan bidang ekonomi masih dimonopoli kaum tertentu.

SISTEM PENDIDIKAN WAJAH NEGARA

"Kegemilangan ini tidak bermakna kalau kita tidak punya sosial indeks yang memberangsangkan, kalau kita masih dilanda isu atau gejala sosial yang mendominasi umat Islam yang tidak pernah selesai, seperti penagihan dadah dan kini ancaman HIV dan Aids.

"Teras kegemilangan ummah mestilah didasari dengan penunjuk sosial dan akhlak yang tidak mudah runtuh dan rapuh. Kalau kita hendak kata kita umat yang gemilang, perlu ditunjukkan dalam bidang pendidikan dan ekonomi", katanya.

Wan Mohamad berpendapat bahawa perubahan sosial akan berlaku bermula dengan sistem pendidikan, sebab sistem pendidikan yang memberi wajah negara atau generasi rakyat akan datang.

"Saya selalu ambil contoh Korea Selatan yang boleh menjadi kuasa automobil dunia dalam masa singkat menyaingi Jepun dan di dalam industri perkapalan, dalam masa 15 tahun Korea menjadi penerajunya.

"Rahsianya kerana antara lain 45 peratus pelajar di pusat pengajian tinggi di Korea adalah di bidang pelbagai cabang kejuruteraan. Yang ini saya baca daripada rekod ekonominya, setahun dua yang lalu, sekarang mungkin banyak lagi. Jadi ia bermula dengan sistem pendidikan", katanya.

Wan Mohamad berkata di sinilah pentingnya pendidikan diutamakan dan penentuan mengenai apa sebenarnya bentuk umat Islam yang ingin diwujudkan.

Maka sistem pendidikan perlu menjurus ke arah itu.

"Misalnya mungkin kita perlu lebih banyak UIA (Universiti Islam Antarabangsa), mungkin kita perlu banyak lagi maahad tahfiz sains di Malaysia. Dalam hal ini kumpulan penyelidik perlu membantu kerajaan dalam penggubalan dasar.

"Kami di Jakim sudah memulakan usaha, sumbangan kami dengan memperkenal program, persijilan tahfiz Al-Quran Jakim-UIAM yang dapat melahirkan hafiz dan hafizah daripada aliran sains", katanya.

Pelajar ini mengikuti pengajian Al-Quran dalam setahun setengah sebelum menyambung pelajaran dalam pelbagai bidang profesional di UIAM dan pengambilan setakat 150 untuk sesuatu tempoh tidak memadai, kerana itu Malaysia perlu ada lebih banyak UIA dan maahad tahfiz, tegas beliau.

Beliau memberi contoh seorang anak didiknya, hafiz dari UIAM yang kini menjadi konsultan syariah di sebuah bank antarabangsa - cekap berbahasa Arab kerana ilmu Qurannya, menguasai bahasa Inggeris dan terlatih dalam bidang khusus di UIAM - individu Islam begini yang mahu dilahirkan lebih ramai lagi (generasi baru) di Malaysia.

"Dan saya tertarik dengan sistem pendidikan Al-Azhar (Mesir) yang ramai memandang rendah kerana tidak banyak yang mengkaji kejayaan sistemnya.

Al-Azhar mewujudkan satu sistem pendidikan bermula dari pusat asuhan lagi, maahad sekolah rendah dan menengah sampai anak-anak didik mereka masuk Universiti Al-Azhar, bukannya dalam bidang usuludin dan syariah sahaja tapi semua kuliah dan ini juga yang dibuat (penyanyi) Cat Stevens (Yusuf Islam) yang menubuhkan pusat asuhan, sekolah rendah, menengah dan sekarang kolej", katanya.

CONTOHI KEJAYAAN

Wan Mohamad mengakui bahawa sebenarnya masyarakat Malaysia hendak melihat bukti kejayaan (sistem ini) dan untuk melihat bukti, ia memerlukan masa tetapi dalam menunggu, negara tidak boleh ketinggalan.

Beliau memberi contoh pelajar Muhammad Ahmad Zahid, 13, yang menghafaz Quran pada usia 10 tahun, menjadi johan hafazan 15 juzuk pada 2007 dan mencipta kejayaan hingga ke Vienna, Austria dan Dubai, UAE.

"Tetapi itu (Muhammad) belajar di luar sistem (pendidikan formal). Kita hendak ia berlaku dalam sistem (pendidikan) itu sendiri kerana di luar sistem ialah untuk indvidu".

(Muhammad tidak bersekolah kerajaan tetapi belajar sepenuhnya di beberapa sekolah agama swasta - Institut Al-Quran Kuala Lumpur Taman Tun Dr Ismail, Muassasah Darul Furqan Bangsar, Maahad Tahfiz Al-Azhariyyah Shah Alam dan Darul Hikmah, Ampang).

Ketua Pengarah Jakim ini mengambil contoh maahad tahfiz Pulai Condong, (sekolah menengah agama/Arab tahfiz kelolaan Yayasan Islam Kelantan) yang mensyaratkan pelajarnya hafaz Quran di kelas peralihan selama setahun sebelum mengikuti pendidikan hingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kemudian ke universiti dan ada yang mendapat biasiswa JPA dan sebagainya.

"Ini bukti sebenar yang kita boleh tonjolkan, dan pakar-pakar pendidikan di Kementerian Pelajaran yang terlibat dalam bidang dasar perlu melihat ini secara serius. Mereka tidak boleh biarkan badan dakwah dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) mewujudkan sistem pendidikan sendiri.

"Kita patut rasa malu kalau model yang dibangunkan oleh NGO ini terbukti berjaya. Ini yang perlu dikaji secara serius, menerima pakainya dengan mungkin sedikit modifikasi. Kementerian Pelajaran sudah berjaya misalnya memperkenal SMKA (sekolah menengah agama Islam )dan kita perlu pergi lebih daripada itu", katanya.

KRITIKAN PERSATUAN ISLAM

Bagaimana pula dengan kecenderungan NGO dan persatuan yang menggelar diri mereka persatuan Islam dan memperjuang isu Islam, yang lebih suka mengkritik apa jua perkara yang dilakukan untuk umat Islam sendiri?

Ini jawapan Wan Mohamad : "Dalam dunia kita ini ramai orang cerdik dan dia bebas memberi sebarang pandangan, tapi dalam kalagan ramai yang cerdik ini, sukar untuk mencari orang yang bijak.

"(bagi) Orang yang bijak, dia akan bersama menyumbang, sama ada (melalui) diri sendiri atau pun menegur, (dengan) teguran yang boleh menambah baik kerana dia mampu memberi penyelesaian atau alternatif yang lebih baik".

Beliau memberi contoh kursus praperkahwinan yang dulu dipersoal kononnya tidak terbukti mengurangkan kadar perceraian dan kini ada pemimpin bukan Islam sendiri yang bercakap mengenai keperluan kursus itu bagi pasangan bukan Islam.

Begitu juga pada 2001 bila Jakim cadangkan ujian HIV terhadap bakal yang berkahwin, ketika itu jabatan ini dihentam kiri kanan, tetapi kini ada cadangan daripada yang bukan Islam ke arah melakukan usaha yang sama.

"Jadi siapa yang mundur dalam pemikiran mereka dan siapa pula yang maju. Ini antara contohnya. Jadi pada saya kita kena elak kecenderungan meremehkan perkara yang orang lain buat dan lebih baik fokus kepada perkara baik lain untuk umat Islam yang boleh kita sumbangkan.

"Dalam masa yang sama mereka yang menjalankan tanggungjawab juga harus stabil dari segi emosi, tidak boleh hilang fokus dan terganggu dengan kritikan, sama ada disokong, disukai atau pun tidak, dicela dan sebagainya.

"Ini juga laluan hidup Rasulullah s.a w. yang tidak terkesan dengan celaan si pencela dan tidak mudah hilang pertimbangan dengan puji-pujian", katanya.

Bila pendapat pengkritik ini mendapat tempat di media dan seolah diterima masyarakat, tidakkah wajar badan agama berwibawa seperti Jakim tampil membela diri?

Wan Mohamad berkata: "Kadang-kadang kita tak perlu bela diri pun. Sebab kita tidak boleh meletakkan diri kita dalam kandang orang bersalah. Yang keduanya, untuk melayan sesuatu itu, kita perlu lihat juga kredibiliti orang yang bercakap.

"Saya kalau jumpa bomoh jalanan bagi (memberikan) sesuatu petua, berbanding seorang doktor yang tidak semestinya seorang pakar, mungkin seorang general practitioner sahaja, tentulah saya memberi penghormatan kepada pandangan seorang doktor, sebab itu bidang dia".

Beliau berkata, perkara yang sama ialah jika yang memberi komen itu agensi agama seperti Jakim dan orang yang berwibawa, tentulah masyarakat perlu bersikap terbuka terhadap mereka kerana mereka ini tidak akan bercakap sembarangan.

KEGEMILANGAN ISLAM

Wan Mohamad ketika merumuskan tanggungjawab umat Islam Malaysia dalam usaha menjana kegemilangan ummah, berkata, umat Islam bertanggungjawab untuk menilai dan mengakui bahawa sebenarnya orang bukan Islam yang selama ini menjadi jiran mereka, belum mendapat peluang yang mencukupi untuk mengenali agama Islam.

"Sebab tugas dakwah ini dibiar dan diserah kepada kelompok yang dipanggil kelompok agama sedangkan setiap orang Islam bertanggungjawab untuk memperkenal keindahan Islam kepada rakannya yang bukan Islam.

"Selain itu, rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam perlu melihat Islam bukan hanya dalam konteks Malaysia. Islam bukan dilahirkan di Malaysia dan tidak ada seorang pun nabi dan rasul dari kalangan Melayu. Islam bukan milik orang Melayu Malaysia atau rumpun Melayu Asia Tenggara", katanya.

Beliau berkata umat Islam jika digabungkan di tanah besar China dengan benua Indo Pakistan, adalah lebih ramai penganutnya daripada umat Islam berbangsa Arab dan kini penganut bukan Kristian yang terbesar di Eropah ialah Islam.

"Jadi memang tepatlah Islam membawa rahmat kepada seluruh alam untuk semua bangsa di dunia", kata Wan Mohamad.

PENGISIAN SAMBUTAN

Menyentuh pengisian sambutan Maal Hijrah 1430, beliau berkata, tradisi yang ada masih diterus iaitu mengadakan forum khas menjelang tahun baru (hijriah) di Masjid Negara, berkumpul di masjid menyambut malam pertama tahun baru dan perhimpunan pada siangnya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Mungkin secara kebetulan juga dua sambutan dalam setahun ini membawa kelainan dalam penganugerahan Tokoh Maal Hijrah 1430 dengan memberikannya kepada dua tokoh - tempatan dan antarabangsa -- yang akan diumumkan pada majlis perhimpunan nanti.

Sambutan di negeri-negeri juga akan diadakan seperti biasa dan agensi seperti Jakim membantu pihak lain yang menganjurkannya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels