Bernama.com
Am 01 Disember, 2008 22:41 PM
 
Agong Mahu Rakyat Malaysia Di Kuwait Jaga Nama Baik, Imej Negara


Daripada Zuhafizah Ahmad Zaki

KUWAIT, 1 Dis (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu rakyat Malaysia yang bermastautin di Kuwait sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia.

Baginda juga mahu mereka terus menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan dalam apa jua perkara yang dilakukan sepanjang berada di negara Teluk itu.

Titah baginda sepanjang lawatan negara ke Kuwait bermula semalam, telah memberi gambaran jelas kepada baginda bahawa Kuwait mempunyai banyak potensi untuk berkembang maju di masa hadapan.

"Oleh yang demikian, beta percaya adalah penting bagi kerajaan mengukuhkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa dengan negara ini," titahnya ketika majlis santapan tengah hari bersama masyarakat Malaysia di Kuwait di Sheraton Kuwait di sini hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah juga berangkat ke majlis santapan itu yang turut dihadiri Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor selaku menteri pengiring, Duta Malaysia ke Kuwait Datuk Ashaary Sani dan isterinya Datin Karimah Mat Noordin, jemputan khas serta kira-kira 150 rakyat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tiba di Kuwait Ahad untuk lawatan negara selama tiga hari atas jemputan kerajaan Kuwait.

Tuanku Mizan juga melahirkan rasa bangga apabila difahamkan rakyat Malaysia yang bekerja di Kuwait adalah di kalangan pengurusan dan profesional terutama dalam bidang petroleum dan teknologi maklumat.

"Beta juga amat sukacita mendengar Persatuan Malaysia di Kuwait ini sangat aktif dalam menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia dan juga dengan penduduk tempatan," titah baginda.

Baginda juga berharap penglibatan aktif tersebut dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi di masa hadapan demi kemakmuran dan kepentingan rakyat kedua-dua negara.

"Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa semoga seluruh rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini akan sentiasa dilimpahi dengan keberkatan rezeki, beroleh kejayaan dan kesejahteraan serta dijauhi daripada sebarang malapetaka," titah baginda.

Terdahulu, Ashaary dalam ucapan aluannya berkata beliau yakin dengan kerjasama dan hubungan erat masyarakat Malaysia di negara itu dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala Kuala Lumpur-Kuwait.

Katanya setiap rakyat Malaysia di Kuwait mempunyai peranan masing-masing untuk menjaga imej negara dan tingkah laku mereka supaya persepsi baik yang diberikan masyarakat tempatan sehingga hari ini dapat dikekalkan serta hubungan dua hala yang baik kedua-dua negara tidak terjejas.

"Walaupun masyarakat Malaysia di sini jumlahnya kecil, namun kami sangat rapat dan semangat setiakawan sentiasa tinggi dan sangat memberi kerjasama kepada kedutaan dalam mengendalikan majlis seperti sambutan Hari Kemerdekaan, hari raya dan sebagainya," katanya.

Dalam ucapan itu Ashaary turut memaklumkan terdapat 146 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, bermastautin di Kuwait.

Mereka bekerja di sektor swasta dan kerajaan antaranya sebagai guru, pengurusan bank, doktor, jurutera serta terdapat 16 pelajar Malaysia masing-masing di peringkat universiti dan menengah.

Malam ini, Seri Paduka berdua akan menghadiri majlis santapan yang dihoskan Perdana Menteri Kuwait Sheikh Nasser Al-Mohammad di Istana Shuwaikh di sini.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah dijadualkan berangkat pulang ke tanah air Selasa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait di sini pada 10.30 pagi (waktu tempatan).

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels