Bernama.com
Am 21 November, 2008 17:10 PM
 
Projek Keusahawanan Untuk Bantu Ibu Tunggal


KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Yayasan Salam dengan kerjasama Yayasan Hong Leong merintis projek keusahawanan untuk ibu tunggal Chow Kit bagi membantu meringankan beban kewangan mereka serta mendidik golongan itu supaya hidup berdikari.

Ahli Pemegang Amanah Yayasan Salam Datuk Ahmad A. Talib berkata program keusahawanan tersebut mampu membantu ibu tunggal untuk menikmati keselesaan hidup daripada hasil sumber pendapatan perniagaan mereka sendiri.

Katanya ibu tunggal yang memohon bantuan akan diberi bantuan kewangan bagi membuka perniagaan ataupun memperkasakan perniagaan yang sedia ada.

"Dalam arus ekonomi yang tidak menentu ini, kami menyedari kehidupan golongan ibu tunggal miskin di bandar amat terhimpit, khususnya di sekitar Kuala Lumpur, semua perkara memerlukan wang.

"Oleh itu, kami berharap orang ramai sedar akan kerumitan golongan ini dan bangkit memberi bantuan kepada mereka. Kita ada wang... kita pergi ke sekolah, tetapi bagi mereka yang kehilangan suami dan miskin ini, mereka tidak mampu untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka," katanya selepas melancarkan program "Keusahawanan Berdiri Megah di Chow Kit" di sini hari ini.

Katanya bantuan kewangan akan diberi berdasarkan cadangan yang disediakan oleh pemohon.

"Setiap dua minggu sekali, kami akan memantau, mereka akan melaporkan kemajuan atau masalah perniagaan mereka, contohnya tentang bajet ataupun idea untuk mengatasi masalah perniagaan mereka," kata Ahmad.

Beliau berkata tujuan utama projek tersebut adalah untuk mempromosikan perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan oleh ibu tunggal di Chow Kit, membantu memperkasakan wanita bandar yang tidak berkemampuan dan membina masa depan diri dan keluarga mereka dengan lebih sejahtera.

Yayasan Salam menganjurkan projek keusahawanan itu sejak tahun lepas dengan menguruskan segala permohonan dan membimbing setiap peserta yang layak manakala Yayasan Hong Leong pula menyalurkan bantuan kewangan untuk diagihkan kepada pemohon yang layak.

Program "Keusahawanan Berdiri Megah di Chow Kit" dianjurkan sempena sambutan Minggu Keusahawanan Global 2008 yang bermula dari 17 sehingga 23 Nov ini yang berlangsung serentak melibatkan 75 buah negara di dunia.

Warisan Global merupakan negara tuan rumah untuk program tersebut.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels