Bernama.com
Am 25 Oktober, 2008 00:49 AM
 
Najib Ketuai Senarai Penerima Anugerah Khas Sarawak


KUCHING, 25 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak merupakan penerima tunggal anugerah Darjah Utama Yang Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Patinggi sempena sambutan 45 tahun Sarawak maju dalam Malaysia.

Najib mengetuai senarai tujuh penerima pingat kebesaran khas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, yang diumum serentak dengan senarai 666 penerima pingat kebesaran sempena sambutan ulang tahun ke-87 kelahiran beliau hari ini.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Jeanne Abdullah menerima anugerah Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA), yang membawa gelaran Datuk Amar.

Lima orang dianugerah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Mereka ialah bekas Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Tun Dr Lim Keng Yaik, Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Sementara itu, Menteri Perumahan Sarawak Datuk Seri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg mendahului senarai 666 penerima anugerah kebesaran negeri bersempena ulang tahun kelahiran Yang Dipertua Negeri itu.

Abdul Rahman Zohari, yang juga timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) adalah antara dua penerima darjah Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua dan Menteri Kemudahan Awam Datuk Awang Tengah Ali Hasan, yang juga naib presiden kanan PBB adalah seorang lagi penerima anugerah itu.

Upacara penganugerahan akan berlangsung di Dewan Santapan bangunan Dewan Undangan Negeri di Petra Jaya di sini selepas istiadat perbarisan dan lintas hormat di Padang Merdeka.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Cahya Mata Sarawak (CMS) Mahmud Abu Bekir Taib adalah penerima tunggal Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS), yang membawa gelaran "Datuk Seri" sementara Albert Hong Hin Kay, Pengerusi dan Pengarah Urusan RSP Architects Planners & Engineers (Pte) Ltd yang berpangkalan di Singapura, menerima anugerah kehormat PNBS.

Enam orang, termasuk Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Joseph Entulu yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS); dan Adun Tasik Biru Peter Nansian Ngusie menerima Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk.

Yang lain ialah Menteri Muda Pembangunan Tanah Negeri Francis Harden Hollis, Ketua Pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Azlan Mohd Zainol, Setiausaha Bahagian Pasaran Kewangan dan Aktuari Pengurusan Pinjaman Kementerian Kewangan Nozirah Bahari, dan pengarah Interhill Group of Companies Hu Chang Pee.

Tujuh penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS), yang membawa geralan "Datu", ialah Timbalan Peguam Negeri Abdul Razak Mohd Tready, Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri Liaw Soon Eng, Residen Miri Ose Murang, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Sanib Said, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak Sudarsono Osman, Pengarah Unit Perancang Negeri Ismawi Ismuni dan bekas Pesuruhanjaya Bandaraya Kuching Utara Abdul Hamid Mohd Yusoff.

Anggota Parlimen Lawas Henry Sum Agong dan Pengarah Urusan Borsarmulu Resort Sdn Bhd Robert Geneid adalah antara sembilan penerima anugerah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa geralan "Datuk".

Yang lain ialah pengarah urusan Sarawak Shell Berhad Wee Yiaw Hin, timbalan setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia Noordin Che Ngah, Penasihat Cats FM Affandi Tahir, pengarah pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Kamal Husin, pengerusi eksekutif Lee Ling Group of Companies Tiang Ming Sing, anggota Suruhanjaya Bandaraya Kuching Utara Majarna Dasmi dan Profesor Dr Mohamed Abdul Majid dari Jabatan Biologi Universiti Brunei.

Profesor Akademik Australia Lance Thomas Twomey, yang juga naib canselor Curtin University of Technology penerima tunggal anugerah PSBS.

Tiga orang dianugerah Johan Bintang Sarawak (JBS) - Liman Numpang dari Unit Perancang Negeri Jabatan Ketua Menteri, dan ahli-ahli perniagaan Kong Sien Han dan Hadadak Daing Pasauk.

Lima orang dianugerah Johan Bintang Kenyalang (JBK). Antara mereka ialah ketua pegawai eksekutif Assar Senari Holdings Sdn Bhd Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman, setiausaha tetap Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak Ik Pahon Joyik, Presiden Persatuan Orang Ulu Kebangsaan Sarawak Dr Abu Bakr Abdullah @ Tom Belarek, Adun Tarat Roland Sagah dan Laksamana Pertama (Bersara) Marzuki Andong.

Tujuh yang lain menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC), 14 Pegawai Bintang Sarawak (PBS), Pegawai Bintang Kenyalang (JBK) (45), Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) (41), Ahli Bintang Sarawak (ABS) (167), Ahli Bintang Kenyalang (ABK) (62), Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) (92), dan Bentara Bintang Sarawak (BBS) (203).

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels