Bernama.com
Rencana 24 Oktober, 2008 11:21 AM
 
Raja Kayu Tinggal Di Malaysia, Tewaskan Kehebatan Kayu Kokka


Oleh Shahrullizan Rusli

PORT DICKSON, 24 Okt (Bernama) -- Raja Kayu yang hanya boleh diperoleh dari hutan-hutan pedalaman di Malaysia sebenarnya mempunyai keunikan dan ciri-ciri keistimewaan yang tersendiri.

Seorang pembuat cincin yang juga pakar kayu, Badrulhisham Abdullah, 43, berkata, kayu yang diberi nama Raja Kayu ini mempunyai keajaiban yang boleh dibuktikan "in situ" di hadapan para pembeli kayu atau cincinnya.

"Kalau kayu Kokka dari negara Arab, kita cuma dengar khasiatnya dari mulut penjual atau kenyataan-kenyataan dari dalam internet tetapi ia tidak dapat dibuktikan, berbeza dengan Raja Kayu," katanya ketika ditemui Bernama pada satu eskpo di sini baru-baru ini.

Beliau sendiri hairan dengan sikap masyarakat Melayu yang tidak pernah mencari kehebatan pada kekayaan hutan rimba sendiri tetapi lebih percaya dari cerita mulut ke mulut yang dibuat untuk mengagungkan produk dari luar negara.

"Hebat tidak hebatnya kayu dari hutan kita, perhatikan sahaja masyarakat Orang Asli yang jarang jatuh sakit sedangkan mereka tinggal di hutan. Kayu dan akar dari hutan kitalah yang memberikan mereka segala keajaiban dan ubat-ubatan," katanya.

CAHAYA TEMBUSI KAYU

Kayu Kokka didakwa menjadi bahan untuk membina bahtera Nabi Nuh, namun nama kayu itu sendiri sebenarnya tidak pernah dinyatakan dalam al-Quran.

Pemberita sendiri terpukau melihat keajaiban Raja Kayu itu apabila cahaya dari lampu suluh mampu menembusi kepingannya yang agak tebal sedangkan ujian yang serupa gagal apabila dibuat ke atas kayu lain yang lebih nipis termasuk Kokka.

Raja Kayu juga membuktikan keistimewaannya yang tersendiri apabila penulis meletakkan Raja Kayu bersaiz satu sen (sangat ringan) ke dalam air, ia akan tenggelam seperti batu.

Ujian ketiga dibuat apabila serbuk Raja Kayu digosokkan ke lengan seorang pelanggan, serbuk kayu dari Raja Kayu yang boleh bertindak sebagai ubat itu digosok dengan perlahan sehingga serbuk itu meresap ke dalam kulit pelanggan itu, perkara yang tidak mungkin berlaku pada serbuk kayu lain.

Katanya, selain pergi mencari sendiri, Raja Kayu dibekalkan kepadanya oleh orang-orang Asli yang menetap di Batu 12, Gombak.

POPULAR DI KALANGAN PELANCONG

Pembuat cincin keturunan Cina itu juga merupakan Pegawai Pemasaran untuk Koperasi Asli Selangor Berhad di Gombak berkata, cincin tembaga yang bertakhtakan Raja Kayu sangat popular di kalangan pelancong asing.

Mereka hanya mampu mengucapkan, "Oh my God, Oh my God", selepas menyaksikan demonstrasi Raja Kayu yang dibuat oleh Badrulhisham.

Beliau yang belajar membuat cincin melalui mimpi selepas jatuh sakit sejak tujuh tahun lepas, tidak menggalakkan orang Islam untuk mempercayai perkara-perkara yang syirik dalam cincin.

"Bagi saya cincin sama ada dari kayu atau batu hanyalah satu aksesori. Kalau ada yang percaya ia boleh melindungi pemakainya dari sihir, itu hanyalah satu petua daripada kepercayaan orang dan hanya berlaku dengan izin Allah", katanya.

Beliau menolak sama sekali jika ada pembeli yang meminta beliau membentuk cincin yang mengandungi unsur-unsur khurafat walaupun ditawar dengan harga yang tinggi.

CINCIN KAYU SEMAKIN POPULAR

Setiap bentuk cincin yang dijual mampu mendatangkan perolehan antara RM80 dan RM350 sebentuk kepada Badrulhisham.

Secara purata, beliau memperoleh pendapatan antara RM3,000 dan RM10,000 sebulan sedangkan beliau hanya mengambil masa selama setengah jam untuk membentuk sebuah cincin.

Katanya, harga ditentukan melalui kesukaran untuk memperoleh bahan membuat cincin itu, teknik membuatnya dan unsur kesenian serta keunikan yang ada pada cincin itu.

Beliau juga memberitahu, cincin yang bertakhtakan kayu kini semakin popular menyamai cincin yang menggunakan batu.

Badrulhisham berhasrat untuk mempopularkan hasil hutan rimba Malaysia terutama kayu-kayan dan keunikan penghuninya iaitu Orang Asli.

ANUGERAH ANTARABANGSA

Sambil menunjukkan ukiran kayu "Harimau Berantai", beliau menyatakan, ukiran Harimau Berantai amat memukau dunia barat dan dunia pengukiran kayu apabila pengukir terbabit dari kalangan Orang Asli mampu membentuk seekor harimau dengan mempunyai bola kayu di dalam mulutnya serta rantai yang selang berkait hanya dari setongkol kayu.

"Tidak ada teknik potong atau gam di dalam ukiran Harimau Berantai. Ia menang anugerah antarabangsa pada Pertandingan Kraf Sedunia, Bangkok, pada lapan tahun lepas," katanya.

Ukiran itu dijual pada harga RM5,000 dan Badrulhisham menjangkakan harganya akan melonjak kepada RM25,000 beberapa tahun lagi kerana pengukirnya sendiri sudah sangat tua dan tidak ada penyambung dari generasi pengukir itu seterusnya.

Ukiran Harimau Berantai boleh dilihat pada laman web Koperasi Asli Selangor Berhad.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels