Bernama.com
Rencana 22 Oktober, 2008 11:08 AM
 
Tukar Imej Pengangkutan Awam


Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Padat dan bersesak-sesak di dalam bas dan tren atau terkandas kerana kerosakan atau tren tiba lewat adalah rungutan yang lazim didengar mengenai pengangkutan awam kita.

Ini mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi `turun padang' untuk merasai sendiri keperitan yang dialami pengguna pengangkutan awam apabila beliau menaiki tren komuter dan LRT.

Beliau membuat kesimpulan orang ramai memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, boleh diharap dan bersepadu yang memberikan perkhidmatan lebih lancar.

Di Lembah Klang, secara purata terdapat 400,000 pengguna perkhidmatan bas setiap hari sementara 350,000 lagi menggunakan tren RapidKL. Secara keseluruhannya RapidKL menyediakan 44 peratus daripada perkhidmatan awam Lembah Klang.

Ini antara statistik yang terkandung dalam Ucapan Belanjawan 2009 Perdana Menteri pada 29 Ogos lepas. Bagi memperbaiki kecekapan pengangkutan awam, kerajaan memperuntuk RM35 bilion untuk tempoh 2009-2014.

Antara rancangan pembaikan ialah meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan rel baru dan menambah bilangan bas.

Sudah tentu pengguna termasuk penduduk di Lembah Klang kini menaruh harapan menggunung masalah yang bagai tiada penghujung yang dihadapi mereka setiap hari akan berakhir dengan usaha yang diambil.

UBAH SIKAP

Tanggapan umum yang masih mengaitkan pengangkutan awam hanya memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah, turut perlu diperbetulkan.

"Tidak tepat untuk mengaitkan pengangkutan awam dengan orang miskin sahaja. Salah satu fungsi pengangkutan awam ialah membolehkan orang bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Ia juga untuk keperluan mereka yang mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan kenderaan persendirian," ujar Moaz Yusof Ahmad, aktivis pengangkutan awam.

Beliau merupakan penasihat 'Transit' (Persatuan untuk Pembaikan Transit Massa-Lembah Klang), kumpulan aktivis pengangkutan awam yang baru ditubuhkan.

Moaz berkata orang lupa bahawa pengangkutan awam turut berfungsi untuk pembangunan dan perniagaan.

Sistem pengangkutan awam yang baik dapat merangsang pembangunan yang baik untuk pertumbuhan sesebuah bandar raya serta penghuninya, katanya.

"Ia dapat mewujudkan pusat bandar yang mesra penduduk, pejalan kaki dan bandar itu sendiri menjadi lebih mesra untuk didiami. Kita boleh ke mana-mana dengan hanya berjalan kaki tanpa perlu memandu. Komuniti ini boleh berjimat, sama juga dengan kerajaan yang boleh menjimatkan perbelanjaan daripada perlu membina jalan raya dan menyediakan kemudahan pengangkutan.

"Belum ada lagi komuniti ini di Lembah Klang kecuali beberapa kawasan penempatan lama. Kebanyakan komuniti baru direka bentuk dengan mengambil kira kemudahan berkereta," katanya.

Dengan prasarana yang sedia ada, perniagaan yang menguntungkan juga boleh dijana di sekeliling stesen pengangkutan awam.

"Pengusaha perniagaan dapat menjangkakan peningkatan keuntungan sementara pemilik hartanah boleh mendapat kadar sewaan yang lebih tinggi," kata Moaz yang juga pensyarah ekonomi sebuah kolej swasta di Subang Jaya.

ISU PERANCANGAN

Moaz berpendapat memberi lebih banyak permit teksi atau bas atau menambah lebih banyak laluan atau gerabak tren bukan penyelesaian kepada segala masalah pengangkutan awam.

Perkara pokok, katanya, ialah perancangan yang rapi serta organisasi yang dapat menghasilkan perkhidmatan awam yang cekap.

"Jika kita tidak menyertakan pengangkutan awam dalam perancangan awam untuk memenuhi kehendak komuniti, kita akan berhadapan dengan masalah serius kemudiannya," beliau menekankan.

Moaz berkata kepincangan utama dalam pengangkutan awam negara ini ialah pelaburan yang tidak menyeluruh atau holistik.

"Kita bina laluan LRT dan kita ingat masalah selesai, dan sekarang lebih ramai boleh menggunakan LRT. Hakikatnya bila keluar dari tren LRT, mereka ini berhadapan dengan masalah lain. Ini yang kita istilahkan sebagai penghubung perbatuan pertama dan terakhir.

"Bas pengantara yang disediakan tidak mencukupi dan tidak cekap. Sekiranya kita tidak dapat memastikan keseluruhan perkhidmatan cekap daripada perbatuan pertama hingga ke akhir, kita tidak dapat menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam walau banyak mana sekalipun LRT kita bina," kata Moaz.

BERBELANJA KURANG UNTUK LEBIH MANFAAT

Dari segi kos dan faedah, Transit berpendapat LRT adalah antara pilihan pengangkutan awam yang kurang berkesan.

Mengambil contoh aliran LRT Kelana Jaya, Moaz berkata pada masa ini perkhidmatan itu beroperasi dengan tren dua gerabak, menggerakkan kira-kira 9,000 penumpang sehala sejam.

"LRT Kelana Jaya dijangka menggerakkan sekitar 20,000 penumpang sejam apabila ia mempunyai tren empat gerabak penghujung 2009. Tetapi kos prasarana LRT agak tinggi. Sekiranya kita perlu menggerakkan 9,000 atau 20,000 orang, sepatutnya kita menimbangkan monorel kerana kos pembinaannya lebih rendah dan boleh menggerakkan bilangan penumpang yang sama," kata Moaz.

Beliau juga berpendapat Aliran Kelana Jaya perlu disambung hingga ke stadium Shah Alam memandangkan terdapat banyak tanah ke barat Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) belum lagi dimajukan.

"Sekiranya ini dilaksanakan, kita ada akses bukan sahaja ke komuniti Ara Damansara tetapi juga Subang, Kampung Melayu Subang, Shah Alam dan sebagainya. Kawasan stadium adalah luas, membolehkan kita mempunyai depot dan kemudahan letak kereta.

"Kita juga boleh membina lorong bas ekspres atau sistem Bas-Rapid Transit (BRT) untuk memberi khidmat kepada kawasan pinggir kota di mana pembinaan LRT tidak kos-efektif," katanya.

"Stadium Shah Alam juga terletak berhampiran Lebuhraya Persekutuan dan NKVE. Oleh yang demikian, kita boleh mengadakan sistem bas yang cekap yang dapat menggerakkan orang dari stadium Shah Alam ke kawasan lain termasuk Shah Alam, Subang Jaya, Kota Kemuning, Klang malahan hingga ke KL," cadang beliau.

Transit juga menyokong rancangan LRT disambung dari Seri Petaling ke Petaling Jaya Selatan menerusi Petaling Jaya, sehingga ke Kepong dan balik semua ke Sentul.

"Kajian Pengangkutan Lembah Klang mengenal pasti aliran Petaling Jaya bergerak dari PJ Selatan ke Taman Tun Dr. Ismail. Aliran ini boleh diintegrasikan dengan sambungan yang kami cadangkan ke Petaling Jaya. Apabila siap, kita akan ada aliran lengkap KL-PJ yang boleh menggerakkan 60,000 penumpang sejam. Ini akan mengurangkan beribu-ribu kereta daripada menggunakan MRRII setiap hari," kata Moaz.

Transit juga mengenalpasti penyelesaian untuk Puchong dan kawasan barat Petaling Jaya.

"Jalan Klang Lama dan Jalan Puchong adalah jalan besar yang digunakan beribu-ribu kereta sehari. Jika kita luaskan KL Monorail kepada tren dengan empat atau enam gerabak dan sambungkan hingga ke MidValley, dan kemudian sepanjang Jalan Klang Lama dan Jalan Puchong, kita boleh menggerakkan 40,000 penumpang sejam. Kawasan MidValley akan mendapat manfaat dan boleh mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Puchong.

"Dalam masa jangka panjang, pendekatan kami dapat merangsang pertumbuhan ekonomi untuk Lembah Klang dan Malaysia," hujah Moaz.

MENYEDIAKAN LEBIH BANYAK BAS

Perkhidmatan bas adalah satu lagi bidang pengangkutan awam yang menjadi perhatian Transit.

Menurut Muhammad Zulkarnain Hamzah, jurucakap Transit, perkhidmatan bas amat terjejas akibat kesesakan trafik.

Sebagai penyelesaian, beliau berkata lebuh raya boleh digunakan sebagai laluan alternatif untuk bas.

Sebagai ilustrasi, beliau berkata 30 bas adalah lebih daripada mencukupi untuk menggantikan maksimum trafik pada satu-satu masa, yang menggunakan Lebuhraya Bertingkat Ampang-KL (Akleh) yang dibina dengan kos RM1.2 bilion.

Beliau juga mencadangkan lebuh raya digunakan sebagai trek 'Expressway Rapid Transit' (ERT) dengan bas ERT sebagai 'tren'.

Muhammad Zulkarnain mencadangkan 'stesen' bas boleh dibina di atas 'trek' ini di lokasi transit yang strategik dengan jumlah penduduk pinggir kota yang tinggi.

"Terminal bas untuk khidmat bas pengantara pinggir kota serta depot dan tempat letak kereta boleh dibina di kawasan pinggir kota, berhampiran lokasi ERT supaya masa transit dapat disingkatkan," jelasnya.

Sehubungan itu tiga lokasi pintu masuk ke Kuala Lumpur untuk bas ERT boleh diwujudkan di KL Sentral/Mid Valley, Imbi (berhampiran Bulatan Pandan) dan Sentul Timur dengan laluan bas khusus ke Jalan Travers untuk akses langsung ke NKVE dan NPE, KL-Putrajaya, dan DUKE Expressway, katanya.

Lokasi pintu masuk ini mempunyai hubungan mudah ke LRT Ampang/Sri Petaling LRT, LRT Kelana Jaya dan aliran KL Monorail sementara Stesen LRT Dang Wangi boleh dijadikan sebagai lokasi pintu masuk utama untuk menampung bas ERT dari Ampang menerusi Akleh.

"Ini memandangkan kedudukannya yang strategik di bahagian barat Akleh. Bagi menampung keperluan pada waktu puncak, pengendali bas ekspres yang memiliki bas dua tingkat yang boleh menampung bilangan penumpang yang ramai perlu dibenarkan untuk membuat tawaran kontrak berkala menjalankan khidmat bas ERT," kata Muhammad Zulkarnain.

Beliau berkata semua bas dan perhentian bas serta pengangkutan utama perlu direkabentuk menurut prinsip 'universal accessibility' yang dapat mempercepat khidmat bas dan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan itu.

PERLU KESUNGGUHAN JITU

Moaz dan Muhammad Zulkarnain sependapat bahawa penyelesaian kepada kemelut pengangkutan awam memerlukan campur tangan daripada pihak tertinggi kerajaan.

Mereka turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen mengenai Pengangkutan Awam yang dianggotai wakil rakyat parti pemerintah dan pembangkang.

"Prasarananya sudah ada. Apa yang diperlukan ialah untuk semua pihak bekerjasama meleraikan kekusutan ini dan bukan hanya untuk memenuhi kepentingan peribadi," kata Moaz.

Beliau turut menegaskan supaya sistem pengangkutan awam yang standard turut diguna pakai di seluruh negara dan bukan hanya untuk Lembah Klang.

"Jika kita terus dengan apa yang kita lakukan sekarang, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi tidak berkembang. Jakarta, Bangkok dan Singapura membuat banyak pelaburan dalam rangkaian pengangkutan awam masing-masing. Jakarta mempunyai sistem Bus Rapid Transit yang patut dicontohi. Mereka membina tujuh Aliran dalam tempoh empat tahun dan tiga lagi sedang dalam pembinaan.

"Bangkok sudah mengembangkan tren Metro dan Skytrain dan mereka sedang membina Bus Rapid Transit serta Aliran Ekspres Lapangan Terbang. Singapura sedang membina tiga Aliran MRT dan tiga lagi sedang dirancang.

"Memang banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi ia boleh dibuat sekiranya kita menukar sikap dan persepsi kita tentang pengangkutan awam," kata Moaz.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels