Bernama.com
Am 21 Oktober, 2008 20:57 PM
 
Program Kesihatan Mental Komuniti Perlu, Kata Lee


KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Sebuah program kesihatan mental secara menyeluruh diperlukan bagi menggalak masyarakat mengetahui dan mendalami pengetahuan mengenai isu-isu kesihatan mental di negara ini, kata pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.

"Menerusi program ini, masyarakat akan mengetahui bagaimana mereka boleh memainkan peranan berkesan dalam menggalakan penjagaan kesihatan mental dan membantu pesakit mental," katanya semasa merasmikan Persidangan Kesihatan Mental Kuala Lumpur Keenam di sini, Selasa.

Katanya perkongsian sumber yang sedia ada antara agensi kerajaan yang relevan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), ahli perubatan profesional, sukarelawan dan pemimpin masyarakat adalah perlu bagi menangani keperluan dan masalah yang dihadapi oleh pesakit mental.

"Peralihan tumpuan dari penjagaan oleh institusi kepada perkhidmatan kemasyarakatan kesihatan mental merupakan hala tuju perkhidmatan psikiatri masa depan.

"Dasar negara mengenai penjagaan kesihatan mental menyokong penyertaan masyarakat dalam perancangan, pengurusan dan penilaian terhadap aktiviti-aktiviti berdasarkan masyarakat," katanya.

Lee juga berkata pembiayaan dasar dan keutamaan harus mencerminkan kehebatan dan bebanan penyakit mental dalam sistem penjagaan kesihatan harian.

"Kita harus meneruskan penyelidikan neurologi dan penjagaan kesihatan dan kaitkan hasil penyelidikan dengan amalan," katanya.

Katanya memperjuangkan kesihatan mental akan menggalakkan keperluan dan hak manusia dan mengurangkan keaiban dan diskriminasi terhadap mereka dalam sistem penjagaan kesihatan mental.

"Setiap daripada kita harus menjadikan kesihatan mental sebagai keutamaan gobal," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels