Bernama.com
Am 20 Oktober, 2008 21:32 PM
 
Seorang Daripada Setiap Lima Pekerja Di M'sia Orang Asing


KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Satu simposium diberitahu hari ini bahawa hampir 20 peratus tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada warga asing dan ini bermakna, nisbah pekerja di negara ini ialah seorang warga asing bagi setiap empat pekerja tempatan.

Simposium berkenaan juga dimaklumkan bahawa hampir separuh daripada lebih 252,600 pekerjaan yang diwujudkan di negara ini setiap tahun, diisi oleh pekerja asing.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Thomas George berkata dasar yang semakin liberal terhadap pengambilan pekerja asing di Malaysia wujud berikutan pertumbuhan pesat ekonomi, yang sebahagian besarnya dipacu oleh industrialisasi di negara ini.

Berucap merasmikan Simposium Kebangsaan mengenai Dasar Pekerja Asing di Malaysia anjuran bersama kementerian itu dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di sini, beliau berkata daripada jumlah keseluruhan 11.3 juta tenaga kerja yang ada di Malaysia, 2.2 juta adalah warga asing.

Bagaimanapun, kata George, kerajaan sentiasa mengambil langkah bagi mengurangkan kedudukan Malaysia yang terlalu bergantung terhadap pekerja asing dan bagi melindungi peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Kerajaan membuat keputusan untuk mengurangkan secara beransur-ansur kadar pergantungan terhadap pekerja asing daripada 2.2 juta sekarang kepada 1.5 juta menjelang 2015.

Mengikut sektor, sebahagian besar pekerja asing diambil bekerja dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 36 peratus, diikuti perladangan (24.6 peratus), pembantu rumah (15.7 peratus), pembinaan (14.2 peratus) dan selebihnya dalam sektor lain.

George berkata sejak satu atau dua tahun lepas, kementerian itu telah mengadakan perbincangan dengan majikan, kesatuan sekerja serta badan bukan kerajaan (NGO)dan bersetuju bahawa wujud keperluan untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap pekerja asing, menambah baik pengurusan pekerja asing dan mengadakan prosedur lebih jelas dan ketat berkaitan kemasukan mereka ke negara ini.

Katanya langkah juga sedang diambil bagi melindungi hak mereka, menyediakan kontrak sebelum mereka belepas dari negara yang menghantar mereka ke Malaysia dan mengenakan tanggungjawab terhadap pihak ketiga yang terlibat dengan penghantaran tenaga buruh asing ke negara ini, jika berlaku sebarang kes pelanggaran kontrak.

George berkata Malaysia mengaku ia memerlukan pekerja asing, sekurang-kurangnya untuk masa sekarang, dan perlu memberi tumpuan terhadap beberapa bidang utama bagi menentukan permintaan sebenar mengikut sektor.

Katanya Malaysia juga perlu mengkaji kesan daripada kehadiran pekerja asing terhadap persekitaran tenaga kerja di negara ini, termasuk isu upah, keadaan bekerja, kesihatan, syarat pampasan dan pekerjaan serta mengetatkan proses pengambilan dan pengurusan pekerja asing.

Sementara itu, seorang pegawai kanan kementerian berkenaan Azizah Ariffin berkata warga asing mengambil kira-kira 45 peratus peluang pekerjaan baru yang diwujudkan setiap tahun di negara ini.

Ketika membentangkan kertas kerja mengenai penilaian keperluan terhadap pekerja asing serta kesannya terhadap ekonomi Malaysia pada simposium itu, Azizah berkata penggunaan pekerja asing secara berlebihan mengakibatkan timbulnya pelbagai masalah, termasuk penurunan purata produktiviti, penyisihan pekerja tempatan, kewujudan kadar upah yang rendah serta menjejaskan kelemahan imbangan pembayaran dan mencetuskan isu sosial dan keselamatan.

Katanya walaupun pada 2006, pekerja asing menyumbang 11.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, tetapi pada tahun lepas, wang yang mereka hantar pulang ke negara asal masing-masing berjumlah kira-kira RM3.43 bilion.

"Oleh kerana jumlah pekerja asing yang begitu besar, kadar upah, terutama bagi pekerja tidak mahir di Malaysia, akan terus rendah, manakala majikan pula akan terus memberi keutamaan kepada warga asing kerana upah mereka secara relatifnya, lebih rendah.

Bagaimanapun, kerajaan sedang giat berusaha bagi mengurangkan pergantungan negara ini terhadap tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor.

Bagi sektor pembuatan, ia akan menggubal dasar dan strategi baru bagi menarik lebih banyak wanita menyertai pssaran tenaga kerja, melaksanakan satu program mekanisasi yang berkesan dan mengenal pasti kemahiran yang diperlukan oleh industri, melaksanakan program latihan serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam penggunaan mekanisasi bagi mengurangkan keperluan mereka mengambil pekerja asing.

Bagi sektor perkhidmatan, kerajaan akan menguatkuasakan kaedah layan diri, terutama di restoran dan stesen minyak. Ia juga akan menyediakan persekitaran bekerja yang lebih menarik dan kondusif bagi pekerja tempatan dan memberi insentif pengecualian cukai bagi menggalakkan penggunaan kaedah automasi.

Bagi sektor perladangan, kerajaan akan menarik penyertaan tenaga kerja dari luar bandar melalui penyediaan prasarana asas, perkhidmatan kesihatan, sekolah rumah harga patut dan pusat penjagaan harian yang lebih baik.

Bagi industri pembinaan, kerajaan akan menggalakkan pelaksanaan Sistem Pembinaan Industri (IBS) dan mengeluarkan permit import bagi mengimport kren.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels