Bernama.com
Am 14 Oktober, 2008 18:22 PM
 
Lampu Minyak Meriahkan Suasana Deepavali Di KL Sentral


KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Selama 21 hari mulai Jumaat ini, KL Sentral akan dihiasi lampu minyak bagi memeriahkan suasana perayaan Deepavali yang akan disambut pada 27 Okt ini.

Pesta cahaya itu adalah sebahagian daripada Perayaan Damodara anjuran International Society for Krishna Consciousness (Iskcon) cawangan Kuala Lumpur bagi menyambut perayaan hari kebesaran penganut agama Hindu itu.

Presiden Iskcon Kuala Lumpur, yang juga pemimpin Jaganath Mandir R. Umakanthan berkata antara acara kemuncak Festival Damodara ialah pemasangan lampu yang menggunakan minyak sapi dan bacaan gita puja bagi tujuan pembersihan jiwa.

"Tahun lepas, kami berjaya mengumpul kira-kira 70,000 individu, bermakna 70,000 lampu minyak. Kami juga mengadakan kegiatan serupa di 3,000 rumah. Tahun ini, kami menyasarkan kira-kira 100,000 individu dan 5,000 rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemasangan lampu itu merupakan simbol permohonan doa restu dengan penuh tulus ikhlas bagi mendapatkan kebaikan.

"Deepavali membawa maksud yang sama. Deepa bermaksud "cahaya" dan Vali bererti banyak lorong," katanya.

Beliau berkata penganut Hindu menyambut Deepavali kerana banyak sebab dan paling utama mengikut kepercayaan mereka ialah bagi memperingati kemenangan Dewa Krishna menentang Nargasura, yang merupakan kejayaan kebaikan mengalahkan kejahatan.

Selain drama dan bacaan doa, lagu-lagu berunsur keagamaan juga akan disiarkan pada upacara sambutan itu.

Festival itu akan bermula pada 7.45 malam Jumaat ini.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels