Bernama.com
Rencana 14 Oktober, 2008 15:37 PM
 
Pentingnya Beruk Kepada Penanam Kelapa


Oleh Mohamad Bakri Darus

KODIANG, 14 Okt (Bernama) -- Penduduk beberapa kampung di sini yang mempunyai pokok kelapa sendiri menghadapi dilema semasa persiapan Aidilfitri baru-baru ini.

Pokok kelapa mereka berbuah lebat, cukup untuk mengeluarkan santan bagi masakan rendang, kari ayam, ketupat palas, lemang dan dodol.

Tetapi tiada orang yang mahu menurunkan kelapa-kelapa itu kecuali beruk yang tidak menang tangan, di arah ke sana ke mari oleh tuannya yang banyak menerima tempahan perkhidmatan.

"Tengok tu, buah nyior (kelapa) banyak tetapi tak ada sapa (siapa) yang boleh naik (panjat pokok kelapa). Raya ni banyak nak pakai nyior, kena beli di kedai kalau tak ada beruk yang mai naik (datang panjat)," kata Hamid Mat, 60an, ketika ditemui di Kampung Paya di sini.

Kalau ada pun orang yang boleh menggantikan beruk memanjat pokok-pokok kelapa ini, bilangannya cuma dua tiga orang, pokok pula tinggi-tinggi.

"Ditambah dengan bulan puasa, tidak ramai yang sanggup," kata Hamid.

Bagi pokok yang sederhana tinggi, galah panjang masih digunakan untuk mengait kelapa, jika tidak, khidmat beruk juga yang akan ditunggu.

Tidak menghairankan bila ada penduduk kampung yang akan ke kedai membeli kelapa walaupun di sekiling rumah terdapat banyak pokok kelapa yang berbuah lebat.

PELIHARA BERUK PETIK KELAPA

Menyedari pentingnya peranan beruk ini, Mohamad Desa Yunos, 56, memelihara dua ekor beruk jantan, masing-masing berusia dua setengah tahun dan tiga tahun, yang dilatih khusus untuk memetik kelapa.

Ditemani anak saudaranya, Hassan Ariffin, 48, perkhidmatan beruk peliharaan mereka yang diberi nama "Awang" dan "Leh" itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk negeri Kedah.

Hassan memelihara beruk untuk panjat pokok kelapa ini sejak remaja lagi. "Awang" dan "Leh", dua ekor beruk yang dipeliharanya kini, dan dilatih selepas membeli mereka daripada seorang rakan.

Mohamad Desa atau nama panggilannya Abang Cha, berkata pada mulanya, memelihara beruk adalah sekadar hobi tetapi setelah menyedari haiwan itu mempunyai potensi besar untuk memetik kelapa, melatih dan membawa beruk-beruk ini ke pelbagai kampung, menjadi pekerjaan tetapnya.

"Setiap tiga biji daripada 10 biji nyior yang dipetik, merupakan upah kami dan jika pemilik pokok nak jual nyior kepunyaan mereka, kami akan beli untuk dijual semula," katanya.

Bagi Abang Cha dari Kampung Kubang Pangas dan Hassan dari Kampung Keda Wang dekat sini, mereka berpuas hati dengan pendapatan daripada upah petik buah kelapa beruk-beruk mereka.

Abang Cha berkata memelihara beruk tidak terlalu sukar kerana haiwan itu tidak memilih makanan dan upah istimewa selepas pulang ke rumah (setiap kali selesai memetik kelapa) ialah telur ayam.

"(Memang) beruk tidak boleh bercakap tetapi dia faham apa yang kita cakap dan suruh," katanya.

Cuma kadang-kadang, beliau mengambil masa untuk memahirkan beruk liar dengan cara memetik yang betul, mengenali kelapa yang perlu dipetik dan tidak berlengah-lengah semasa membuat kerja.

BERUK MILIKI KEKUATAN PETIK KELAPA

Seorang lagi pemilik beruk, Che Meh Ahmad, 63, dari Pida Empat dekat sini, berkata haiwan itu mempunyai kekuatan tersendiri untuk memetik kelapa dalam jumlah yang banyak.

Kerja melatih dan menyuruh seekor beruk liar untuk memanjat dan memetik buah kelapa mengikut arahan tuannya bukan tugas mudah jika tidak pandai memahami perlakuan haiwan itu.

Jika tersilap langkah, beruk itu bukan sahaja malas melayan kehendak tuannya malah dikhuatiri boleh bertukar ganas dan menyerang sesiapa sahaja yang dianggap mahu mengancamnya, katanya.

Paling "ditakuti" pemilik beruk ialah bila beruk yang memanjat pokok kelapa tidak mahu turun sebaliknya berehat lama di celah-celah pelepah pokok.

Che Meh berkata cerita beruk menyerang dan menggigit manusia bukan asing lagi dan beliau perlu berwaspada ketika haiwan itu "tumpah minyak" (naik angin) atau "musim mengawan" kerana haiwan itu boleh bertindak ganas.

"Kalau masa dia (beruk) tumpah minyak, makanan yang kita berikan akan dilemparkannya, kalau kita suruh dia panjat pokok nyior, dia buat tak tahu, ada kalanya dia serang kita balik," ceritanya.

LAPAN HINGGA 10 TAHUN

Menurut Che Meh, beruk liar perlu dibiasakan dengan cara memulas buah kelapa menggunakan kaki dan bukan tangan, memandangkan cara itu lebih pantas manakala tangannya boleh memaut pelepah pokok tanpa ditimpa risiko jatuh ke tanah.

Jangka hayat seekor beruk boleh memetik kelapa adalah antara lapan hingga 10 tahun dan selepas tempoh itu haiwan berkenaan dianggap terlalu tua untuk menjalankan tugas berkenaan.

Beruk yang pandai memetik buah kelapa perlu menjalani tugas itu setiap hari kerana jika ia dibiarkan bercuti panjang, dikhuatiri haiwan itu kembali kepada tabiat lamanya, kata beliau.

Pada peringkat awal menjalani latihan intensif itu, haiwan berkenaan akan meronta-ronta tetapi ia akan menjadi biasa dengan latihan yang diberi apabila mendapati kerja memulas buah kelapa menjadi seronok.

Katanya pada peringkat kedua pula, seekor beruk akan mempelajari cara mengikut arahan bahasa isyarat tuannya seperti "panjat, turun, kelapa muda, kelapa tua, duduk diam dan jangan kacau".

Peringkat akhir latihan ialah beruk itu akan dipastikan melakukan setiap arahan secara teratur, katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels