Bernama.com
Am 14 Oktober, 2008 14:14 PM
 
Sasaran Pengambilan Baru 60,000 Anggota Polis Dicapai 2012 - Syed Hamid


KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Sasaran untuk mengambil 60,000 anggota baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah pelan strategik lima tahun pasukan itu akan dicapai pada 2012, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata PDRM telah mengambil langkah proaktif untuk mencapai sasaran pelan yang bermula pada 2007 itu dengan meningkatkan pengambilan dan pelantikan baru daripada dua kali setahun kepada empat kali setahun.

"Mengikut perangkaan, kita akan mencapainya (sasaran 60,000) kerana di dalam tahun 2007 hingga 2012, kita akan mengambil 1,200 Inspektor dan 10,800 konstabel setiap tahun," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Syed Hamid berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong yang ingin tahu sama ada sasaran menambah 60,000 anggota polis sehingga 2012 dapat dicapai.

PDRM kini mempunyai keanggotaan seramai 92,000.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, kerajaan turut giat menambah dan membina pusat latihan polis (Pulapol) yang baru dan dijangka dua pusat latihan polis dengan kapasiti latihan untuk 3,000 orang pegawai dan anggota polis akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2009, iaitu Pusat Latihan Polis di Pulau Langkawi, Kedah dan Pusat Latihan Polis Ulu Kinta, Perak yang dinaiktaraf daripada Sekolah Latihan PGA Ulu Kinta.

Selaras ini juga, beliau berkata prasarana dan kemudahan pusat-pusat latihan sedia ada seperti di Pulapol Kuala Lumpur, Ayer Hitam, Kuching dan Kota Kinabalu turut dinaiktaraf bagi meningkatkan keupayaan dan kemampuan PDRM dalam mengadakan latihan asas kepada pegawai dan anggota polis yang baru dilantik.

"Dengan tambahan pusat latihan dan naiktaraf pusat latihan, sampai tahun 2012, kita mempunyai kapasiti untuk melatih 88,074 orang anggota terdiri daripada Inspektor (6,704) dan Konstabel (81,370).

Terdahulu, menjawab soalan Tan mengenai pengambilan baru anggota dan pegawai polis, Syed Hamid berkata sejumlah 3,243 orang telah dilantik ke jawatan Konstabel dan Inspektor polis sehingga 1 Julai tahun ini, manakala 2,000 calon lagi akan dilantik sebagai Konstabel Polis sehingga akhir tahun ini.

Daripada jumlah itu, sejumlah 2,364 orang telah dilantik ke jawatan Konstabel dan 879 orang lagi dilantik ke jawatan Inspektor Polis, katanya.

Sementara itu, Syed Hamid ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai kualiti latihan polis, berkata kerajaan mengambil pegawai-pegawai berpengalaman yang telah bersara untuk menjadi jurulatih di pusat latihan polis dan sentiasa memantau dari semasa ke semasa disiplin serta kualiti jurulatih berkenaan.

Setiap latihan yang diatur dan dirancangkan adalah mengambil kira pencapaian dari segi kualiti yang dikehendaki dan memastikan polis menjadi satu pasukan yang berdisplin supaya dapat menjaga keselamatan dan keamanan negara, katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels