Bernama.com
Am 09 Oktober, 2008 16:31 PM
 
RM1.8 Juta Pulihkan Poliklinik Komuniti Air Keroh Daripada Kulat


LUMUT, 9 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan perlu membelanjakan RM1.8 juta bagi menggantikan sistem pendingin hawa dan menjalankan kerja pembersihan bagi memulihkan Poliklinik Komuniti Air Keroh di Melaka yang diserang kulat, kata menterinya Datuk Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kerosakan pada sistem kawalan suhu sistem pendingin hawa di poliklinik itu yang menyebabkan berlaku kelembapan tinggi dikenal pasti sebagai punca berlaku pertumbuhan kulat itu.

"Itu sebabnya sebelum ini saya tegaskan penyelenggaraan sangat penting. Kalau tidak dibuat penyelenggaraan dengan baik perkara seperti ini akan berlaku. Apabila serangan kulat makin membesar ia menjadi di luar kawalan, maka sebab itu kini keseluruhan sistem pendingin hawa di situ perlu ditukar," katanya kepada pemberita dalam lawatannya ke Hospital Seri Manjung (HSM) dekat sini, Khamis.

Sambil menafikan masalah itu ada kaitan dengan kecacatan reka bentuk bangunan poliklinik itu, Liow berkata Kementerian Kesihatan sedang dalam proses untuk mendapatkan pandangan pakar sebelum menawarkan tender bagi kerja pemulihan itu.

Serangan kulat yang berlaku itu sama seperti kes di Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu, pada September 2004 yang menyebabkan hospital berharga RM557.8 juta itu terpaksa ditutup sementara.

Liow berkata kementerian akan menyiasat dakwaan seorang nelayan mengenai kecuaian pihak tertentu menyebabkan kematian anak lelakinya berumur 21 tahun di Hospital Taiping dua hari lepas.

Abdul Aziz Abdul Rasid, 58, mendakwa kon onnya anaknya Asmawi, meninggal dunia kerana disyaki menghidap batuk kering walaupun sebelum itu disahkan mengalami masalah apendiks oleh pegawai perubatan hospital tersebut.

"Kita akan lihat kes ini sama ada melibatkan kecuaian ataupun sebab lain," kata Liow.

Mengenai denggi, beliau berkata sepanjang tahun ini 35,227 kes demam denggi melibatkan 78 kematian telah dicatatkan di seluruh negara, turun 12 peratus ataupun 4,224 kes berbanding tempoh sama tahun lepas yang mencatakan 39,451 kes.

Liow juga berkata denggi yang melanda daerah Manjung ketika ini adalah suatu yang serius kerana 314 penduduk telah dimasukkan ke hospital antara 18 Ogos dan 5 Okt lepas.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels