Bernama.com
Am 28 September, 2008 16:47 PM
 
Warga Indonesia Balik Kampung Naik Feri


JOHOR BAHARU, 28 Sept (Bernama) -- Warga Indonesia yang bekerja, belajar dan bermastautin di Johor turut pulang ke kampung masing-masing sejak Jumaat lalu untuk beraya.

Terminal Feri Stulang Laut di sini menjadi sesak termasuk hari ini kerana mereka mula berada di jeti seawal 3 pagi.

"Kadaan agak sesak apabila mereka datang seawal 3 pagi. Mereka datang awal bagi mendapatkan tiket untuk balik ke Batam dan Tanjung Pinang," kata seorang pengawal keselamatan di kompleks membeli-belah bebas cukai The Zon, Sarjan Mohamed Amri.

Katanya pada hari ini, tiket feri untuk ke Tanjung Pinang habis ditempah menjelang 8.30 pagi.

Perjalanan menggunakan feri ke Batam mengambil masa sejam manakala sejam setengah lagi untuk ke Tanjung Pinang.

Terdapat tiga lagi pintu keluar ke Kepulauan Batam iaitu Tanjung Balungkor di Kota Tinggi, Minyak Beku di Batu Pahat dan Kukup di Pontian.

Bagi Nelly Aziz, 35, ini merupakan kali pertama dia balik ke kampungnya di Sumatera.

"Sudah lima tahun saya tak balik kampung. Banyak perbelanjaan kalau balik kampung," katanya yang telah berkahwin dengan lelaki tempatan.

Katanya tambang feri dan kapal terbang ulang-alik ke Sumatera bagi dia suami isteri dan dua anaknya yang berusia empat dan dua tahun, adalah kira-kira 10 juta rupiah atau RM3,500.

Katanya, dulu lebih senang untuk dia balik ke Sumatera kerana ada penerbangan terus dari Senai, tetapi kini dengan ketiadaan penerbangan langsung itu, dia sekeluarga terpaksa menaiki feri ke Batam terlebih dahulu dan terpaksa bermalam di sana sebelum menaiki pesawat pada keesokan pagi ke Sumatera.

"Namun saya amat gembira balik kampung kali ini, kerana sudah lima tahun saya tak balik. Bolehlah saya berjumpa kembali dengan sanak saudara di sana," katanya.

Mohamad Selamat, 30, seorang ahli tabliqh yang menetap di Batu Pahat bersyukur kerana dapat balik berhari raya bersama keluarganya di Batam, walaupun baru tiga minggu dia meninggalkan mereka.

"Hari Raya ialah hari yang mulia dan harus disambut bersama ahli keluarga. Maknanya saya amat gembira kerana dapat balik," katanya yang akan bercuti selama dua minggu.

Umi Ana, 29, pula berkata dia datang ke Johor Baharu empat hari lepas untuk merasai suasana membeli-belah sempena hari raya.

Katanya suasana persediaan hari raya di sini amat meriah dan terdapat pelbagai jenis barang yang menarik dijual.

Sehingga 1 petang masih ramai warga Indonesia yang tiba di terminal untuk menaiki feri.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels