Bernama.com
Rencana 25 Ogos, 2008 13:41 PM
 
Peranan Besar Gerak Perang Saraf Semasa Darurat


Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama ) -- Ancaman komunis di negara ini yang bermula pada tahun 1948 hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai (Perjanjian Haadyai) pada 2 Dis 1989.

Perjanjian bersejarah itu ditandatangani antara Parti Komunis Malaya (PKM), kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand.

Tahun 1948 hingga 1960 adalah di antara zaman sukar untuk penduduk Tanah Melayu. Darurat yang berlaku sepanjang tempoh 12 tahun itu berlaku akibat persengketaan antara Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan British.

Mengikut catatan sejarah, darurat tercetus dengan pembunuhan tiga orang pengurus ladang berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak pada tahun 1948.

Sebulan selepas kerajaan British mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu, PKM diharamkan.

Sepanjang tempoh darurat ini, banyak pertempuran berlaku antara tentera British dengan dibantu beberapa rejimen askar Melayu untuk menghapuskan anasir komunis khususnya usaha mereka menanamkan ideologi komunis terhadap seluruh rakyat Malaysia.

GERAK PERANG SARAF

Pelbagai langkah diambil pihak berkuasa sepanjang tempoh darurat (1948-1960) dan semasa komunis masih mencetuskan keganasan bagi memastikan keselamatan negara dan rakyat.

Antara usaha yang dibuat ialah menerusi operasi 'Gerak Perang Saraf' (GPS) yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu "memenangi hati dan minda rakyat" dan "melemahkan segala usaha yang dilaksanakan musuh".

Ini diuar-uarkan sendiri oleh Datuk Dr Wan Ismail Wan Mahmood dalam ceramah anjuran Persatuan Sejarah Malaysia di sini baru-baru ini.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini adalah pakar rujuk bidang GPS Majlis Keselamatan Negara (1970-1993).

Dr Wan Ismail mengikuti pengajian psikologi selama lapan tahun di London (1952-1959) dengan Anugerah Biasiswa Queen Elizabeth II Coronation.

Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Kementerian Kesihatan di Singapura termasuk pusat-pusat latihan perubatan dan sosial masyarakat (1960-1966), pengarah latihan angkatan belia negara (1966-1970) dan pensyarah undangan Maktab Polis DiRaja Malaysia (1966-1993).

USAHA AWAL

Menurut Dr Wan Ismail, beliau mula terbabit dengan operasi GPS seawal 1965.

"Dalam satu pertemuan dengan Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tunku berkata negara sedang menghadapi ancaman komunis dan berbagai-bagai lagi. Selepas Gabenor Sir Henry Gurney dibunuh (dalam serang hendap di Bukit Fraser oleh pengganas komunis), Tunku kata kita perlu melakukan sesuatu bagaimana hendak menggunakan minda manusia.

"Tunku kata dari segi ketenteraan, askar Melayu, polis dan tentera, askar British, Gurkha, semua kita dah buat tapi tak berapa berjaya, darurat masih berlarutan," kata beliau.

Dr Wan Ismail kemudian diarah membuat persediaan kertas kerja untuk menubuhkan jabatan gerak perang saraf.

"Pengalaman saya hanyalah sebagai ahli psikologi. Bidang perang gerak saraf ini adalah sesuatu yang baru bagi saya. Yang membantu saya ialah kata-kata Sir General Templer iaitu untuk memenangi peperangan, kita mesti memenangi hati dan minda rakyat," jelasnya.

PENUBUHAN JABATAN

Dr Wan Ismail diarah menubuhkan satu bahagian khas yang diberi nama Bahagian GPS dan ditempatkan di Kementerian Kebudayaan dan Sukan juga di Kementerian Penerangan melalui tugas-tugas media massa dan penyebaran kepada rakyat.

"Yang beri saya ilham sedikit sebanyak ialah kata-kata Tunku iaitu daripada segi ketenteraan dan kepolisian, tidak ada siapa yang boleh mengalahkan rangkaian risikan kita termasuk risikan luar," kata Dr Wan Ismail.

Untuk memberi kesan yang positif, Bahagian GPS ini dianggotai pegawai kanan polis dan tentera untuk memberi nasihat dari segi keselamatan dan sebagainya.

"Pegawai saya terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Ini penting kerana kita memproses maklumat dalam pelbagai bahasa dalam membuat persediaan menyusun strategi dari sudut psikologi.

"Untuk membantu kerja, Bahagian GPS perlu tahu taktik yang digunakan oleh pihak musuh (komunis). Kami perlu mengkaji pergerakan atau strategi mereka. Di sinilah peranan besar yang dimainkan pihak polis dan tentera di samping sokongan yang kita perolehi dari rakyat berbilang kaum dan agama," katanya.

Menurut Dr Wan Ismail, maklum balas yang diterima bukan sahaja dari segi taktik dan strategi tetapi juga pergerakan musuh iaitu komunis.

"Semua maklumat ini membantu kita mengatur strategi dan tindak balas terhadap komunis. Daripada maklumat tersebut juga kita menyusun persediaan bagaimana hendak menghadapi musuh," jelasnya.

SENTIMEN PERKAUMAN

Dasar 'Pecah dan Perintah' Inggeris mencetuskan sentimen perkauman yang begitu menebal. Inilah satu daripada taktik yang digunakan pihak komunis.

Dr Wan Ismail berkata hubungan sesama kaum khususnya semasa pemerintahan Inggeris dan darurat tidak sebaik hari ini.

Katanya sentimen perkauman begitu kuat dan beliau sendiri sering berkelahi dengan rakan sekolahnya (bukan Melayu) kerana sentimen perkauman itu.

"Antara kertas kerja yang kami buat ialah bagaimana hendak menyatukan ketiga-tiga kaum ini. Kami juga menyediakan kertas kerja bagaimana hendak menghubungi masyarakat Cina di kampung-kampung baru. Hendak masuk ke kampung itu pun kami perlukan bantuan polis," katanya.

Dr Wan Ismail menceritakan bahawa penduduk di kampung baru pada masa itu penuh dengan rasa curiga sehinggakan sukar untuk menilai sama ada mereka menyokong kerajaan atau pihak yang satu lagi.

Usaha memenangi hati rakyat turut digalas pegawai penerangan, yang menurut beliau, dibimbing bagaimana untuk berkomunikasi dengan masyarakat setempat. Mereka juga menyalurkan maklumat mengenai program kerajaan serta masalah ekonomi, sosial dan sebagainya.

"Matlamat utama kami ialah untuk mendapatkan keyakinan rakyat yang berbilang kaum. Sekiranya rakyat menerima yang kerajaan ini mampu menjaga kebajikan mereka, pada saya kita sudah memenangi separuh peperangan," jelasnya.

Beliau turut menekankan asas gerak perang saraf ialah "cara kita menyerang balas apabila berhadapan dengan sesuatu situasi dan bukan setakat menunjukkan reaksi.

"React akan hanya menjadikan anda defensive, anda mesti counter act," tegasnya.

PERLU BERHATI-HATI

Setiap pergerakan Bahagian Gerak Perang Saraf ketika itu dibuat penuh berhati-hati supaya sebarang maklumat tidak jatuh ke tangan musuh. Maklumat yang hendak disampaikan menerusi radio turut ditapis dulu oleh bahagian itu untuk memberi kesan yang positif kepada matlamat bahagian.

"Sebarang maklumat mengenai keselamatan perlu melalui bahagian saya dulu. Ini terutamanya jika ada kesangsian bahawa maklumat berkenaan akan mendedahkan keselamatan polis atau tentera kita," katanya.

Dalam masa yang sama pihak Gerak Perang Saraf turut mengumpul maklumat risikan. Antaranya menganalisis maklumat dalam semua media elektronik dan cetak dan sebagainya yang akan membantu mengelak rakyat daripada dipengaruhi komunis khususnya ideologi komunis.

"Bahagian GPS juga mempunyai pegawai khas yang telah diberi latihan asas GPS. Pegawai-pegawai lelaki dan perempuan, terdiri dari pelbagai kaum dan mempunyai kemahiran pelbagai bahasa akan dihantar melawat kampung-kampung di seluruh negara.

"Tugas mereka adalah untuk mendapat maklumat termasuk masalah yang dihadapi oleh rakyat umum. Maklumat yang dikumpul akan dianalisis dan disediakan cadangan tindakan yang perlu diambil oleh badan-badan berkaitan," jelasnya.

Dr Wan Ismail berkata antara langkah yang diambil untuk 'melemahkan semangat musuh' ketika itu ialah dengan menjatuhkan risalah di kawasan musuh.

Contoh risalah ialah seperti berita anak isteri atau keluarga yang kebuluran atau gambar keranda anggota keluarganya yang mahu dikebumikan.

"Gerak perang saraf ini tak ada hadnya. Macam-macam boleh dilakukan," tambahnya.

PENTINGNYA SOKONGAN RAKYAT

Dr Wan Ismail membuat rumusan, dalam apa-apa peperangan, pergaduhan atau pertelingkahan, perkara utama yang mesti dilakukan ialah memenangi hati dan minda rakyat.

"Selagi rakyat tidak membantu kita, tidak kira kuat mana pasukan tentera kita, kita tidak akan berjaya. Lihat apa yang berlaku dengan tentera Amerika di Perang Vietnam.

"Amerika tewas bukan kerana kelemahan kuasa tentera tetapi mereka kurang gerak perang saraf. Rakyat Vietnam diabai, banyak masalah sosial berlaku akibat perbuatan askar Amerika sendiri," katanya memberi perbandingan.

Di Malaysia, katanya, kombinasi jaringan bersepadu tentera, polis dan orang awam dengan menggunakan asas psikologi menghasilkan kejayaan dalam mengekalkan kestabilan perpaduan berbilang kaum.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels