Bernama.com
Am 16 Ogos, 2008 16:05 PM
 
Sumpah Pegang Quran Tiada Dalam Islam, Kata Nik Aziz


BUKIT MERTAJAM, 16 Ogos (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci Al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam.

Nik Aziz berkata perbuatan memegang atau menjunjung Al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.

"Dalam Islam sesiapapun bebas bersumpah untuk membuktikan dirinya benar tetapi bukanlah dengan memegang kitab suci Al-Quran kerana ia adalah perbuatan orang Kristian yang memegang kitab mereka ketika bersumpah," katanya kepada pemberita selepas menyertai rombongan Pakatan Rakyat yang mengiringi penamaan calon penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini.

Menteri Besar Kelantan itu bagaimanapun berkata tindakan Saiful Bukhari bersumpah laknat itu adalah dibenarkan dalam Islam dan kini terpulang kepada keikhlasan pengakuannya bahawa beliau telah diliwat oleh Anwar.

Mengenai saranan supaya Anwar turut bersumpah, Nik Aziz berkata dalam Islam seseorang yang membuat pendakwaan harus bersumpah bahawa dakwaannya adalah benar dan kemudiannya tertuduh perlulah membela diri.

Semalam Saiful Bukhari membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mendakwa Anwar telah meliwat dirinya dalam keadaan paksaan.

Anwar pula menyifatkan tindakan bekas pembantu peribadinya adalah satu perbuatan politik kotor untuk menjatuhkannya pada pilihan raya kecil itu.

-- BERNAMA
Copyright 2017 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels