Bernama.com
Am 10 Ogos, 2008 12:19 PM
 
Penipuan Meter Tambang Teksi Tambah Beban Pengguna


Oleh Jumiati Rosly

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Perbuatan segelintir pemandu teksi menipu meter tambang ketika pengguna sedang berhadapan dengan kos sara hidup semakin meningkat, harus membuka mata semua pihak untuk bertindak mengatasi masalah ini.

Perbuatan ini bukan sahaja mencemarkan imej perkhidmatan teksi malah menimbulkan tanda tanya mengenai piawaian meter teksi dan penguatkuasaan terhadap pemandu teksi sedemikian.

Penumpang yang jarang menggunakan teksi mungkin tidak dapat mengesan perbuatan ini tetapi bagi yang biasa, mereka mengesyaki penipuan ini berdasarkan pengalaman.

Seorang penumpang, Muliadi Othman, 35, yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan teksi untuk berulang alik ke tempat kerja kerana tiada perkhidmatan awam lain ke kawasan kediaman, lazimnya hanya perlu membelanjakan kira-kira RM5 tetapi ada kalanya 'terkena' apabila dicaj sehingga RM11 berdasarkan meter biarpun tiada kesesakan lalu lintas.

"Saya mula syak apabila pemandu itu sering menekan brek ketika memandu dan saya perasan meter itu meningkat dengan laju," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata beberapa pemandu teksi yang ditemuinya mengakui ada di kalangan rakan-rakan setugas mereka mengubahsuai meter bagi membolehkan kadar tambang bergerak laju.

Salina Yusof, 29, berkata beliau yang bergantung kepada perkhidmatan teksi bukan sahaja beberapa kali terpaksa membayar tambang sekali ganda daripada kebiasaan biarpun untuk ke tempat berdekatan, tetapi juga berhadapan kerenah pemandu enggan menggunakan meter dengan alasan jalan sesak.

"Baru-baru ini saya naik teksi dan rasa pelik apabila pemandu teksi itu sering menekan hon. Yang menghairankan saya ialah apabila setiap kali hon dibunyikan, kadar meter naik laju," katanya.

Bagi menyelidiki perkara ini, Bernama mendapatkan pandangan pakar mengenai perkara ini dan mendapati perbuatan menipu meter tambang teksi boleh dilakukan dengan kaedah yang sukar dikesan oleh pihak penguatkuasa.

Pemilik Zull Design Autotronic, sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kejuruteraan kreatif, automasi dan mekatronik, Zulkifli Haron berkata pelbagai cara boleh digunakan bagi mengubahsuai kadar tambang pada meter teksi.

"Ia boleh dibuat sendiri. Sebenarnya nak ubah suai meter ini mudah dan kebanyakannya sukar dikesan oleh pihak penguatkuasa," katanya, sambil menjelaskan bahawa pengubahsuaian boleh dibuat pada wayar dan bukan terus diubahsuai pada meter.

Zulkifli berkata meter teksi di negara ini menggunakan sistem digital dan diprogramkan untuk mengira jarak perjalanan menerusi sensor yang diterima daripada jarak yang dilalui tayar.

Beliau berkata pelbagai teknik boleh dilakukan sendiri kerana biarpun meter yang sudah diperiksa Puspakom, wayar meter masih boleh diubahsuai ekoran ia tidak dilakri.

Katanya masalah pengubahsuaian meter ini mungkin boleh diatasi dengan penggunaan meter sistem pengawasan satelit, namun harga lebih mahal dan akan meningkatkan kos operasi sesebuah teksi.

"Meter harga biasanya mungkin sekitar RM400-500 sebuah tetapi meter yang menggunakan pengawasan satelit harganya sekitar RM2,000," katanya.

Beliau berkata sistem meter satelit itu yang digunakan secara meluas di Jepun mempunyai banyak faedah seperti boleh mengesan kedudukan teksi itu dan mencari peta laluan.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah mengakui masih wujud kes penipuan meter di negara ini.

"Kita mesti mencari satu formula supaya meter tidak sewenang-wenangnya diubahsuai dan saya percaya ramai pemandu teksi yang mengubahsuai meter mereka selepas ditawarkan beberapa pihak bengkel yang ingin mengaut keuntungan," katanya.

"Saya terkilan kenapa bengkel yang membuat pengubahsuaian itu hanya dikenakan kompaun RM300 sedangkan pemandu teksi itu terus dibatalkan permit. Pemandu teksi di Malaysia ini bukanlah "MacGyver" yang tahu tentang selok belok wayar dan adalah tidak adil apabila pihak yang mengubahsuai itu hanya dikenakan kompaun yang sedikit," katanya.

Mengulas mengenai pemberian lesen teksi kepada 3,000 pemohon di kalangan pemandu teksi yang bekerja dengan syarikat teksi terutama di kawasan Lembah Klang, beliau berkata akan timbul suatu keadaan pemandu teksi menjual lesen mereka kepada syarikat teksi dan perkhidmatan mutu teksi semakin menurun.

"Bila lesen individu sudah dikeluarkan, masalah lain pula timbul apabila ada pemandu teksi yang malas nak bawa teksi dan ada yang tidak memberikan perkhidmatan sebaiknya. Boleh dikatakan setiap lima tahun, situasi yang sama akan berulang," katanya.

Beliau berkata ada satu ketika lesen teksi dijual di 'pasaran gelap' dengan harga RM5,000 hingga RM10,000.

Katanya pemberian lesen kepada syarikat teksi memudahkan untuk mengawal mutu perkhidmatan teksi dalam negara dan juga dapat menjaga kebajikan pemandu teksi.

Sehingga 31 Dis tahun lepas, Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengeluarkan sebanyak 31,760 lesen teksi. Daripada jumlah itu, 9,487 dikeluarkan untuk individu manakala 22,273 lesen lagi untuk syarikat yang kemudiannya menyewakan lesen itu kepada pemandu teksi pada kadar RM30 hingga RM40 sehari.

Pengerusi LPKP Datuk Markiman Kobiran berkata pihaknya tidak dapat mengambil sebarang tindakan jika tidak ada laporan yang dibuat mengenai perkhidmatan teksi.

"Kena ada aduan dululah maka tangkapan boleh dibuat. Kami selalu membuat operasi pemeriksaan secara rawak dan juga berdasarkan maklumat yang diperolehi," katanya.

Setakat ini, katanya LPKP telah menamatkan lebih daripada 100 permit pemandu teksi yang didapati melakukan kesalahan itu.

Orang ramai dinasihatkan membuat aduan melalui laman web Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD), talian 1 800 88 9600 atau menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 39900 jika mempunyai masalah berhubung perkhidmatan teksi di negara ini.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels