Bernama.com
Ekonomi 04 Ogos, 2008 23:15 PM
 
Kemudahan Tempat Letak Kereta Baru Untuk Penumpang Di KLIA


KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Terdapat kemudahan baru untuk mereka yang hendak memarkirkan kereta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tempoh yang lama apabila berurusan di luar negara.

Pengguna yang memanfaatkan kemudahan ini, hanya perlu membayar RM15 untuk setiap hari berikutnya selepas hari ketiga. Perkhidmatan itu berkuatkuasa pada 1 Ogos.

Kadar yang ditawarkan adalah rendah jika dibandingkan dengan RM43 yang perlu dibayar oleh pengguna untuk meletak kereta 24 jam di tempat kereta jangka pendek yang ada sekarang.

Tempat letak kereta jangka panjang dan berbumbung itu, menawarkan 530 ruang dan terletak di paras empat dan lima Blok A. Tempoh minimum meletakkan kereta di situ ialah tiga hari pada kadar RM129.

"Kemudahan baru itu adalah bagi mereka yang perlu meletakkan kereta untuk lebih daripada tiga hari.

"Berdasarkan kepada pertanyaan daripada para pengguna lapangan terbang, kami percaya ia akan mendapat sambutan menggalakkan," kata Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasi Malaysia Airports, Datuk Azmi Murad.

Beliau menambah kumpulan sasaran ialah penumpang yang ke luar negara untuk tujuan riadah atau perniagaan. Mereka akan menikmati tempoh meletak kereta maksimum pada kadar minimum.

"Kemudahan itu turut menggalakkan pengguna berkongsi kereta apabila ke KLIA kerana ia menjaminkan penjimatan dengan jumlah minimum kereta yang digunakan," kata beliau.

Kemudahan tempat letak kereta baru itu juga mempunyai ruang khas untuk orang kurang upaya, CCTV, pengawasan keselamatan dan tandas.

Mereka yang menggunakan kemudahan itu bagaimanapun perlu membuat pembayaran di paras dua Blok B.

Penumpang yang berlepas dari LCCT-KLIA juga boleh menikmati kemudahan ini. Mereka boleh meletak kereta di tempat letak kereta itu dan menaiki bas ke LCCT-KLIA.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels