Bernama.com
Am 31 Julai, 2008 22:01 PM
 
Wan Azizah: Daripada Surirumah Kepada Ketua Pembangkang


KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dengan tidak disangka-sangka, menceburi bidang politik yang mengubah hidupnya daripada seorang surirumah menjadi Ketua Pembangkang, ekoran penahanan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan rasuah dan liwat.

Dr Wan Azizah, 55, ibu kepada enam anak -- lima perempuan dan seorang lelaki -- melepaskan jawatannya dalam kerajaan sebagai optalmologi untuk berada di sisi Anwar ketika suaminya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993.

Ketika Anwar dipecat daripada Umno dan ditahan kerana dakwaan rasuah dan liwat pada 1998, beliau mengetuai Social Justice Movement (Adil), sebuah badan bukan kerajaan hak asasi awam (NGO) bagi memperjuangkan pembebasan suaminya dengan bantuan keluarga, rakan karib dan para penyokongnya.

Daripada sebuah NGO, Adil menjadi platform untuk penubuhan Parti Keadilan pada 4 April, 1999, sebuah parti politik yang pada awalnya memperjuangkan pembebasan Anwar.

Dr Wan Azizah, dilantik sebagai presiden penaja dan kemudian sebagai presiden parti.

Beberapa bulan selepas itu, sebagai orang baru dalam dunia politik, beliau buat julung kali bertanding dalam pilihan raya umum, bagi mempertahankan kerusi parlimen Permatang Pauh yang sebelum itu disandang suaminya, dengan menentang Datuk Seri Ibrahim Saad, yang ketika itu Ketua Umno bahagian Permatang Pauh dan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 9,077 undi.

Pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, beliau mengekalkan kerusi parlimen berkenaan setelah mengalahkan bekas Imam Besar Masjid Negara Datuk Pirdaus Ismail daripada Barisan Nasional.

Pada pilihan raya umum 8 Mac, Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 13,388 undi ke atas exco Pemuda Umno itu.

Beliau memperoleh 30,338 undi berbanding Pirdaus yang mendapat 16,950 undi.

Parti itu, pada Ogos 2003, bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) untuk menubuhkan Parti Keadilan Nasional dan beliau dilantik sebagai presiden, jawatan yang disandangnya sehingga hari ini.

Berikutan kemenangan besar partinya pada pilihan raya umum 2008, Dr Wan Azizah dilantik oleh pembangkang sebagai ketua mereka dalam Dewan Rakyat.

Hari ini, selepas menduduki kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal, beliau mengosongkan kerusi itu bagi membolehkan suaminya bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan kelak.

-- BERNAMA






Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels