| Belia 4B Mahu Umno Dan Pas Utamakan Kepentingan Bangsa Dan Agama |
|
IPOH 25 Julai (Bernama) -- Umno dan PAS perlu mengenepikan kepentingan parti dan mengutamakan kepentingan orang Melayu serta agama Islam di dalam muzakarah antara kedua-dua parti, kata Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia, Datuk Jamaludin Abdul Rahim.
Beliau berkata kedua-dua parti perlu ikhlas mencari jalan menyatupadukan kembali orang Melayu dengan memahami kehendak mereka, manakala Umno sebagai parti yang lebih besar pula perlu bersedia bertolak ansur dengan PAS.
Katanya muzakarah yang berlangsung tiga kali sebelum ini membuka jalan kepada penyatuan umat Islam yang sedang berpecah belah di dalam negara.
Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata Gerakan Belia 4B menyokong penuh usaha yang dirintis oleh kepimpinan kedua-dua parti utama orang Melayu itu bagi mencari jalan mengukuhkan perpaduan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi agama dan bangsa.
"Sekiranya penyatuan umat Islam dan orang Melayu berlaku, pemerintahan dan pembangunan negara akan berjalan lancar kerana kedua-dua parti iaitu PAS dan Umno tidak lagi sentiasa berfikir bagaimana untuk 'membunuh' antara satu sama lain," katanya.
Jamaludin berkata bangsa lain tidak perlu curiga atau bimbang dengan muzakarah antara Umno dan PAS kerana penyatuan orang Melayu akan menguntungkan semua rakyat kerana pemerintahan dan pembangunan negara dapat berjalan dengan baik.
"Umno dan PAS pernah bersama pada era 70-an dan pembangunan negara pada masa itu begitu pesat dan dikagumi," katanya.
Beliau berkata Gerakan Belia 4B akan memainkan peranan menyatukan orang Melayu dengan memastikan setiap aktiviti yang dijalankan membabitkan belia Melayu tanpa mengira fahaman politik.
"Saya akan mengarahkan semua cawangan Belia 4B di seluruh negara supaya memastikan program-program yang dianjurkan turut membabitkan anggota-anggota Umno dan PAS," katanya.
-- BERNAMA
|
|
|