| Kepercayaan Rakyat Akan Terhakis Jika Anwar Berdolak-dalik |
|
PASIR MAS, 20 Julai (Bernama) -- Kepercayaan rakyat akan terhakis terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau masih berdolak-dalik berhubung tuduhan kes liwatnya.
Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali berkata Anwar sepatutnya memberikan kerjasama kepada pihak polis supaya siasatan mereka berjalan lancar sehingga kes itu dapat dibicarakan di mahkamah.
Beliau berkata pihak polis juga telah memberikan jaminan bahawa tiada perkara buruk akan berlaku kepada Anwar seperti pernah berlaku ke atas dirinya pada 1998 ketika beliau ditangkap atas tuduhan yang sama.
"Berani kerana benar takut kerana salah," katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana di sini malam Sabtu.
Anwar ditahan Rabu lalu sebelum dibebaskan bagi membantu siasatan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ibrahim berkata jika Anwar tidak memberikan kerjasama rakyat akan membuat pelbagai andaian kononnya dakwaan itu adalah konspirasi kerajaan atau Anwar memang melakukan perkara itu.
Sehubungan itu, beliau yakin Anwar sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri akan mengambil langkah untuk bekerjasama bagi membuktikan kebenaran di dalam kes itu.
Beliau meminta agar pihak kerajaan melantik pendakwa raya daripada mereka yang bebas dan mahir di dalam perundangan ketika pendakwaan dibuat terhadap Anwar bagi mencerminkan ketelusan perbicaraan kes itu.
"Pendakwa raya tidak boleh daripada kakitangan kerajaan atau daripada Jabatan Peguam Negara. Ini boleh dilakukan berdasarkan undang-undang yang ada di dalam negara ini," katanya.
Beliau juga meminta doktor peribadi Anwar sendiri melihat proses pengesahan DNA dijalankan bagi memastikan tiada pemalsuan berlaku semasa ujian DNA dijalankan untuk mengesahkan kesahihan keputusan DNA tersebut.
Beliau yakin dengan langkah itu kebenaran akan pasti terserlah kerana tiada siapa di dalam negara ini berada di atas undang-undang.
-- BERNAMA
|
|
|