Bernama.com
Ekonomi 16 Julai, 2008 17:04 PM
 
Pelan Hotlink Baru Maxis Benarkan Talian Kekal Aktif Untuk 365 Hari


KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Maxis Communication Bhd telah memperkenalkan pelan Hotlink barunya iaitu Hotlink 365 yang membolehkan para pelanggan mengekalkan taliannya aktif dalam tempoh yang lebih lama.

Ketua pemasaran pengguna dari bahagian perniagaan, Tan Lay Han berkata pelan baru itu akan membolehkan pengguna sedia ada dan baru membuat dan menerima panggilan untuk keseluruhan 365 hari.

"Sekarang, para pengguna mempunyai fleksibiliti untuk mengisi semula pada bila-bila masa untuk membuat panggilan dalam tempoh 365 hari tanpa sebarang gangguan dengan Hotlink 365," kata beliau kepada pemberita pada majlis pelancaran pelan baru itu di sini hari ini.

Tan berkata Hotlink 365 unik berbanding pelan lain yang ada di pasaran, yang menawarkan tempoh sah antara 10 hingga 30 hari dan pelanggan dikehendakki isi semula jika mahu membuat panggilan.

Untuk melanggan pelan ini, pengguna prabayar hanya perlu membayar RM33 untuk tempoh sah satu tahun dan menambah RM30 untuk enam bulan pertama selepas melanggan pelan ini.

"Kami amat yakin yang Hotlink 365 akan memberi manfaat kepada pengguna kami dengan membenarkan mereka mengekalkan talian mereka aktif untuk tempoh yang laman," kata beliau.

Menurut Tan, penguasaan pasaran pascabayar dan prabayar Maxis pada masa ini ialah 41.7 peratus.

Untuk mengekal kedudukan teratas dalam perkhidmatan prabayar, beliau berkata Maxis akan kerap menawarkan produk inovatif kepada penggunanya.

Setakat ini, syarikat mempunyai lapan juta pelanggan prabayar dan angka itu dijangka meningkat.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels