Bernama.com
Am 11 Julai, 2008 18:27 PM
 
Pembedahan Tulang Belakang Tidak Lagi Berisiko Tinggi, Kata Pakar


KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pembedahan tulang belakang, yang suatu ketika dulu mempunyai risiko tinggi terhadap pesakit, kini lebih selamat hasil penemuan teknik baru dalam bidang rawatan, kata seorang pakar perubatan hari ini.

Dr Jagdeep Singh Nanra, pakar neurologi dari Prince Court Medical Centre di sini, berkata kemajuan terkini dalam bidang pembedahan tulang belakang yang menggunakan peralatan canggih, membolehkan pakar bedah tulang belakang melaksanakan prosedur pembedahan dengan lebih selamat dan berjaya.

Rakyat Malaysia juga tidak perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan rawatan di luar negara kerana segala kemudahan bagi melakukan pembedahan tulang belakang kini terdapat di negara ini, katanya pada Persidangan Tulang Belakang Antarabanga 2008 di sini.

Persidangan dua hari anjuran Persatuan Neurologi Malaysia itu mempertemukan pakar neurologi dari Eropah, Australia dan Asia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang pembedahan tulang belakang dengan doktor tempatan.

"Doktor Malaysia juga tidak kurang cekapnya, malah dalam sesetengah hal, lebih cekap daripada doktor di sesetengah negara maju.

"Cuma, peraturan yang ada di sini tidak membenarkan kami memberi maklumat kepada orang ramai kerana ia boleh dianggap mencari publisiti untuk diri sendiri," kata Dr Jagdeep.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels