Bernama.com
Rencana 10 Julai, 2008 12:15 PM
 
Burung Hijrah Dan Tarantula Yang Hampir Pupus Di Bukit Fraser



Fraser Hill juga merupakan rumah bagi labah-labah besar, iaitu tarantula daripada keluarga labah-labah tropika. Foto: Anuar Isman

Oleh Esme Farhah Kazaruddin

BUKIT FRASER, 10 Julai (Bernama) -- Ketenangan Bukit Fraser, dengan udara sejuk segar dan rimbunan dedaun hijaunya, menjadikan bukit peranginan ini antara destinasi pilihan pencinta alam semula jadi.

Terletak sejauh 105 km dari Kuala Lumpur dan pada ketinggian 1,524 meter dari aras laut, Bukit Fraser juga sebenarnya menjadi destinasi pilihan pelbagai spesies burung hijrah terutama dari Siberia, sebelum menuju ke New Zealand dan Australia pada Mac hingga Jun setiap tahun.

Tidak hairanlah, setiap Jun saban tahun, ramai pelancong dalam dan luar negara, khususnya peminat burung, mengunjungi Bukit Fraser.

Pada 21-22 Jun lepas, ramai datang untuk melihat dan mendekati lebih 250 spesies burung seperti Helang Berjambul, Rimba Murai Bukit, Kelicap Gunung dan Burung Matahari Gunung, melalui pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa yang dianjurkan Tourism Pahang dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF).

MENGENAL BURUNG

Acara yang dianjurkan sejak 1987 itu juga berjaya mencetuskan minat mengkaji burung ini sebagai satu aktiviti bagi pelancong selain mempromosi Bukit Fraser sebagai satu produk pelancongan.

Pertandingan mengenal burung ini juga diadakan untuk mendokumenkan penemuan spesies baru burung selain memperkaya pengalaman peserta mengenai dunia burung.

Seorang peserta dari Jepun, Kozue Yamaguchi yang pertama kali mengikuti pertandingan seumpama itu berkata beliau amat tertarik dengan keunikan pelbagai spesies burung yang dilihatnya di Bukit Fraser.

"Saya dapat melihat banyak spesies burung yang tidak pernah saya temui sebelum ini di Jepun," katanya.

Beliau berkata pertandingan itu boleh menaikkan nama Malaysia di mata dunia sebagai destinasi pelancongan yang unik terutama keindahaan flora dan faunanya.

PELANCONG LEBIH RAMAI

Sementara itu, Pengerusi PKBF Datuk Maznah Mazlan berkata Bukit Fraser kini mencatatkan lebih banyak ketibaan pelancong pada kadar 30 peratus setiap tahun.

Bukit Fraser kini berada di tangga ke-23 dunia dalam pertandingan mengenal burung dan dianggap sebagai lokasi terbaik bagi pertandingan itu di Asia selepas China, Thailand dan Indonesia, katanya.

Maznah yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata peningkatan penyertaan terutama dalam kalangan pelajar menunjukkan acara itu satu pelaburan yang baik ke arah menggalakkan kesedaran orang ramai terhadap perlunya memulihara integriti alam sekitar.

"Penyertaan pelajar sekolah merupakan pelaburan baru kerana apabila mereka sayang dan minat pada burung, mereka juga akan sayang kepada habitat burung dan menanamkan perasaan cintakan alam semula jadi," katanya selepas merasmikan pertandingan itu baru-baru ini.

Beliau berkata penyertaan peserta antarabangsa juga semakin bertambah dan mereka yang pernah menyertai pertandingan itu pada masa lalu, turut kembali ke Bukit Fraser.

SAINGAN

Bagaimanapun pertandingan itu kini mendapat saingan sengit daripada negara jiran Thailand yang turut menganjurkan acara serupa.

"Thailand mempunyai 1,500 jenis burung berbanding Malaysia yang hanya mempunyai 745 spesies burung dan ini membuatkan peminat burung beralih ke negara berkenaan," katanya.

Maznah berkata Malaysia juga disifatkan masih mentah dari segi pengalaman, kemahiran dan pengetahuan dalam mengkaji spesies burung dan pemandu burung tempatan mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang terhad kerana terlalu bergantung kepada buku dan petunjuk yang tersedia untuk dijadikan panduan.

Katanya FHDC sedang mencari pemandu burung yang berpengalaman termasuk yang pernah berkhidmat di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau jabatan yang berkaitan dengann alam semula jadi sebagai pemandu burung yang lebih berpengetahuan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan berusaha memelihara keindahan alam semula jadi Bukit Fraser bagi memastikan kehadiran burung akan kekal pada masa depan.

TARANTULA

Berbeza sedikit dengan burung hijrah, Fraser Hill juga merupakan rumah bagi labah-labah besar, tarantula daripada keluarga labah-labah tropika, Theraphosidae. Walaupun menjadi satu daripada tarikan pelancong, tarantula merupakan spesies yang semakin terancam dan bakal hilang dari tanah tinggi itu akibat kekurangan perhatian dan sifat kejam manusia.

Kini lubang yang menjadi sarang kepada tarantula musnah akibat kerakusan manusia yang terlalu mementingkan diri sendiri di mana ada yang cuba mengambil haiwan ini untuk dipelihara serta dijual kepada peminat spesies itu.

Labah-labah tarantula yang mempunyai sengatan berbahaya itu boleh membesar sehingga 15 sm.

Bagaimanapun, habitat ini sukar ditemui kerana ia hanya tinggal di kawasan berbukit dan mampu hidup sehingga 60 tahun jika ia tidak mengalami sebarang ancaman yang akan menyebabkan kepupusan.

Pemandu pelancong dan juga pegawai sains PKBF, K.S Durai yang terlibat dalam bidang ini sejak 23 tahun, berkata tarantula yang terdapat di Bukit Fraser kini kebanyakannya berusia lebih 40 tahun.

Durai yang dianggap ramai sebagai eksaiklopedia bergerak flora dan fauna Bukit Fraser, berkata jangka hayat tarantula betina lebih lama berbanding jantan, yang akan mati apabila mencapai tahap matang seksual iaitu sekitar lima tahun.

Bagaimanapun tarantula betina mampu tinggal sepanjang hayat di hutan dan akan membiak setahun sekali selepas musim hujan, katanya.

Antara keunikan habitat ini ialah ia mempunyai kaki atas yang bewarna keemasan dan kaki bawah berwarna biru gelap.

Spesies ini juga kini mengalami kepupusan kerana ada orang yang mengambil kesempatan menjualnya ke pasaran luar. Di Jepun misalnya setiap tarantula berharga RM228 seekor untuk dijadikan binatang peliharaan.

Tarantula memerlukan penjagaan yang rumit kerana ia sesuai pada suhu antara 16 hingga 22 darjah selsius untuk hidup, katanya.

Untuk melindungi haiwan yang kian pupus ini, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 tidak membenarkan sesiapa sahaja memelihara atau menyimpan haiwan ini dan jika didapati bersalah denda RM50,000 akan dikenakan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels