| DBKL Ganti Penutup Longkang Besi Dan Fiber Dengan Konkrit Untuk Cegah Kecurian |
|
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggantikan secara berperingkat penutup longkang besi dan fiber di beberapa kawasan utama di sini dengan penutup jenis konkrit bagi mengelak kecurian.
Datuk Bandar Datuk Ab Hakim Borhan berkata kecurian penutup longkang jenis besi semakin meningkat disebabkan oleh harga besi keluli yang kian meningkat.
Antara jalan yang telah siap dipasang konkrit sehingga 30 Jun adalah di siar kaki Taman Tasik Titiwangsa, Jalan Tun Sambanthan, Lorong Maarof, Jalan Ipoh, Jalan Kanan (Kampung Pandan) dan Jalan Pudu.
Pada tahun lepas, DBKL mengalami kerugian RM400,000 ekoran kehilangan 1,604 penutup longkang jenis besi manakala bagi tahun ini sehingga 30 Jun lepas, DBKL mengalami kerugian lebih dari RM300,000 ekoran kehilangan 1,015 penutup longkang jenis itu.
Ab Hakim juga berkata tahun ini, program bazar Ramadan akan berlangsung dari 1 hingga 30 Sept manakala bazar Deepavali adalah dari 5 hingga 26 Okt.
-- BERNAMA
|
|
|